mutakhir

Pasang CCTV di sekolah berisiko

Oleh Adha Ghazali

KEMENTERIAN Pendidikan tiada sebarang halangan untuk meneruskan cadangan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah khususnya sekolah yang berisiko dengan kes disiplin.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, untuk itu Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) akan menentukan sekolah di negeri masing-masing yang akan dilengkapi CCTV itu berdasarkan kepada rekod serta kedudukan disiplin.

“Saya ingat (pemasangan CCTV di sekolah) ini satu daripada benda yang tidak boleh kita elak lagi terutama di zaman digital dan ia suatu keperluan.

“Kalau dulu orang kata pakai telefon bimbit itu mewah, tetapi sekarang semua ada dan ia satu keperluan, begitu juga CCTV.

“Jadi kita tak ada masalah dengan cadangan pemasangan CCTV di sekolah," katanya ketika ditemui selepas menghadiri program ziarah kasih di Kampung Perik, Padang Terap, hari ini.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) sebelum ini menyambut baik usaha memasang CCTV di sekolah, namun berharap tindakan itu tidak sehingga mengganggu privasi pelajar dan guru.

Mengenai garis panduan pemasangan CCTV, Mahdzir mengakui tidak semua tempat di dalam sekolah akan dilengkapi kemudahan itu untuk mengelak isu gangguan privasi.

“Sekolah pun, tak semua kena pasang. Kalau sekolah itu sudah 35 tahun tak ada masalah disiplin, maka tak perlulah. Apa pun JPN akan tentukan (sekolah mana akan dipasang CCTV)," katanya.

Mengenai peruntukan pemasangan, beliau berkata, sekolah ada peruntukan khusus untuk kawalan keselamatan dan ia boleh diperhalusi.

Disiarkan pada: January 12, 2018 @ 9:34pm
d