mutakhir

Kecekalan mendiang perlu dicontohi

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

TIMBALAN Perdana Menteri sifatkan mendiang Tan Sri Celestine Ujang Jilan sebagai seorang pemimpin yang cekal kerana menghabiskan usia muda untuk berkhidmat kepada rakyat.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Ujang adalah seorang pemimpin yang begitu cemerlang ketika bersama kepimpinan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Menurutnya, hubungan antara beliau dan mendiang Ujang, 71, bermula sejak 1987 ketika masing-masing mengetuai Sayap Pemuda UMNO dan PBB.

"Saya kehilangan sahabat karib yang dianggap sebagai keluarga dan saya akan meneruskan hubungan kekeluargaan ini.

"Mendiang juga sudah mencurahkan bakti sejak usia muda dan sikap itu perlu dicontohi pemimpin muda lain," katanya ketika ditemui selepas menziarahi mendiang Ujang di kediamannya di bandar raya ini, malam ini.

Ahmad Zahid yang tiba 8 malam meluangkan masa kira-kira 20 minit bertemu isteri mendiang, Puan Sri Elizabeth Pawa dan Timbalan Menteri Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi yang juga menantu Ujang.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu disahkan meninggal dunia di Hospital Pakar KPJ di Kuching 7.48 malam, Rabu lalu.

Mendiang dikatakan terjatuh selepas menjalani rawatan dialisis di rumahnya sebelum dikejarkan ke hospital.

Sepanjang karier politiknya sebelum bersara pada 2001, mendiang pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena dan pernah memegang beberapa portfolio antaranya Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan serta Menteri Perumahan selain pernah menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak mulai 1981 hingga 1987.

Disiarkan pada: January 12, 2018 @ 9:54pm
d