mutakhir

Ambil perhatian serius masalah jalan berlubang

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Jempol sudah mengarahkan pihak penyelenggara supaya mengambil perhatian serius berhubung keadaan jalan berlubang di sepanjang laluan Jalan Bahau-Kemayan.

Jurutera JKR Daerah Jempol Rosdi Abu Bakar berkata, kerja pembaikan termasuk menampal lubang akan dibuat serta-merta oleh syarikat konsesi, Selia Senggara.

Bagaimanapun, katanya, syarikat penyelenggaraan terbabit hanya melakukan kerja menampal untuk sementara waktu berikutan hujan setiap hari.

“Kami akui ia tidak bertahan lama, namun cara itu dilakukan hanya sementara waktu. Jika cuaca panas, jalan terbabit akan diperbaiki termasuk menurap semula.

“Pembaikan kekal hanya boleh dilaksanakan ketika cuaca panas bagi mengelakkan air hujan bertakung selain tidak merosakkan struktur jalan,” katanya.

Rosdi berkata, kerosakan jalan akan kerap berlaku ketika hujan dan beliau berharap pengguna jalan raya berhati-hati ketika melalui laluan terbabit.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Lui Mohd Razi Mohd Ali berkata, pihaknya sudah mengemukakan permohonan bagi menaik taraf dan baik pulih jalan raya berkenaan, namun belum diluluskan.

Disiarkan pada: January 13, 2018 @ 4:25am
d