mutakhir

Denda tipu berat

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

Seremban: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Sembilan mengeluarkan kompaun sebanyak RM5,200 ke atas 19 peniaga durian kerana didapati menggunakan alat penimbang yang tidak diperakui Metrology Corporation Malaysia (MCM) Sdn Bhd.

Ketua Penguat Kuasa KPDNKK negeri Azizan Abdullah berkata, kompaun itu dikeluarkan sejak 8 Januari lalu sehingga kelmarin selepas mereka didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(6) Akta Timbang dan Sukat 1972.

“Perbuatan mereka dikesan selepas KPDNKK menjalankan Op Duri di sekitar Mantin, Senawang, Jalan Pantai-Jelebu dan Kuala Klawang, Jelebu.

“Sebanyak 46 gerai diperiksa dan kami dapati peniaga durian tidak menjalani pemeriksaan alat penimbang yang boleh menimbulkan keraguan kepada pembeli,” katanya.

Azizan berkata, siasatan mendapati peniaga terbabit terlalu berkira untuk mengeluarkan modal minimum RM8 bagi tujuan pemeriksaan alat penimbang supaya lebih tepat.

“Peniaga sepatutnya melakukan pemeriksaan sekali setiap tahun untuk memastikan alat timbangan berfungsi dengan baik selain ketepatan bacaan sebelum diperakui MCM.

“Apabila alat penimbang itu dihantar kepada MCM, mereka akan menguji menggunakan standard kerja pemberat seperti satu kilogram hingga lima kilogram bagi memastikan ketepatan alat berkenaan.

“Untuk pemeriksaan itu, setiap alat penimbang dikenakan bayaran berbeza. Bagi alat timbang kurang 10 kilogram (kg) dikenakan RM8, alat timbang lebih 10kg RM15.90 dan alat timbang lebih 25kg atau kurang 50kg dikenakan RM31.30.

“Apabila perniaga menjalankan pemeriksaan alat timbangan, mereka secara langsung memberi ketepatan timbangan dan sukat dalam perniagaan selain mengelakkan pengguna terpedaya dengan peniaga yang ingin mengambil kesempatan,” katanya.

Disiarkan pada: January 13, 2018 @ 4:32am
d