mutakhir

Malaysia bersamamu Iman

Oleh Norasikin Daineh

Kota Kinabalu: Satu lagi spesies hidupan liar di Malaysia bakal pupus apabila Iman, badak sumbu Sumatera betina terakhir, kini sakit. Ia membawa berita duka bahawa negara akan kehilangan satu-satunya peluang untuk kelangsungan badak sumbu Sumatera.

Iman yang ditempatkan di Rizab Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu disahkan mempunyai tumor dalam rahim sejak Disember lalu. Sejak itu, keadaan kesihatan Iman semakin merosot. Haiwan ini juga semakin lemah selepas mengalami pendarahan hampir setiap hari.

Selain Iman, ada seekor lagi badak sumbu Sumatera jantan dinamakan sebagai ‘Kertam’ atau ‘Tam’ ditempatkan di rizab hidupan liar itu. Kedua-duanya dikenal pasti sebagai badak sumbu Sumatera terakhir di negara ini.

Ia selepas pemantauan pelbagai pihak mendapati hampir pasti tiada tanda-tanda badak sumbu Sumatera ditemui di dalam hutan di negara ini. Teori itu berdasarkan bahawa hidupan ini gemar menonjolkan dirinya meskipun berada di habitat semula jadi.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Augustine Tuuga berkata, Iman kini dilihat amat tidak selesa berikutan berlaku pendarahan keluar dari vaginanya, hampir setiap hari.

Beliau berkata, hidupan itu mengalami kehilangan banyak darah.

“Keadaan ini amat membimbangkan kerana ia menyebabkan Iman amat tidak bermaya. Ia banyak menghabiskan masanya dengan tidur dan bangun hanya untuk makan.

“Walaupun pendarahan masih belum berhenti kerana tumor, namun kakitangan pusat penjagaan masih giat mencari jalan untuk menyembuhkan penyakitnya,” katanya.

Tambahnya, JHL bersetuju menggunakan kaedah melambatkan aliran darah keluar daripada vagina haiwan itu secara tidak ‘invasif’.

“JHL sedang berhubung dengan pakar dari luar negara. Ada pakar yang mengetahui berita mengenai Iman, menghubungi kita dan turut mencadangkan cara untuk melambatkan aliran darah daripada vagina haiwan itu. Walaupun pilihan terbaik adalah dengan melakukan pemeriksaan endoskopi, tetapi ia terlalu berisiko kepada Iman pada ketika ini.

“Jadi kita harap dengan cara melambatkan aliran darah, ia akan menghentikan aliran darah ini seterusnya menyembuhkan Iman,” katanya.

Augustine berkata, langkah itu bagi memudahkan untuk menjaga dan merawat badak sumbu berkenaan.

“Selera makan Iman berbeza setiap hari, tetapi dilihat meningkat. Jumlah makanan yang kami sediakan dikekalkan dalam 15 kilogram, bersama buah-buahan berjumlah antara empat hingga lima kg,” katanya.

Jika diimbas kembali, usaha pembiakan badak sumbu Sumatera ini berdepan detik sukar sebelum kesihatan Iman merosot, sejak bulan lalu. Ia memandangkan sperma dari Tam sebenarnya sukar kerana keadaan Tam yang sudah tua menyebabkan embrio menerusi kaedah persenyawaan luar rahim vitro (IVF) tidak berjaya dihasilkan.

Sperma yang terhasil daripada Tam kurang berkualiti dan dia sudah tua iaitu berusia 30 tahun atau bersamaan dengan usia lelaki berusia 65 tahun.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Borneo Rhino Alliance (BORA), Datuk Dr Junaidi Payne berkata, sudah tiba masanya Kerajaan Malaysia dan Indonesia bekerjasama dalam usaha pembiakan haiwan yang diancam kepupusan itu.

“Idea ini bukanlah baru, malah ia sudah difikirkan sejak 1984.

“ Iman sudah tidak boleh lagi diubati, apa yang boleh dilakukan adalah memantau keadaannya,” katanya.

Disiarkan pada: January 13, 2018 @ 5:23am
d