mutakhir

Koperal tak mengaku berbogel depan jiran

Oleh HM Digital

Melaka: Padah berkelakuan tidak sopan dengan berbogel di hadapan jirannya, seorang anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, semalam.

Bagaimanapun, tertuduh, P Maniam, 49, yang berpangkat koperal mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati berkelakuan kurang sopan dengan berbogel semasa berada di belakang rumah untuk dilihat remaja perempuan berusia 17 tahun dan bapanya yang berumur 57 tahun.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Taman Saujana Indah, Bukit Katil, di sini, jam 5.30 petang, 18 dan 25 April 2017.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100 jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Shazreen Nadia Saaban yang mencadangkan jumlah jaminan RM6,000 dikenakan kepada tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan rendah dikenakan.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM500 selain menetapkan 8 Februari depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Disiarkan pada: January 13, 2018 @ 5:31am
d