mutakhir

Sorok bom belakang kondo

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

POLIS menyoal siasat lelaki yang dikatakan menyorok bom tangan di tepi longkang belakang blok kondominium di Jalan Kuchai Maju 13, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim, berkata lelaki 40-an itu ditahan depan pusat hiburan di Jalan Kuchai Lama, pada 9.30 pagi Sabtu.

“Dia ditahan kerana dalam keadaan mencurigakan. Disyaki penagih.

“Hasil siasatan mendedahkan suspek mempunyai bom tangan yang disorok dengan cara ditanam di tepi longkang belakang kondominium terbabit.

“Suspek mendakwa bom itu diperoleh daripada rakannya warga Thailand, dua tahun lalu.

“Ketika itu, suspek mendiami kondominium itu sebelum berpindah ke Bandar Puteri Kinrara,” katanya.

Mazlan berkata, unit bom dan unit anjing pengesan (K9) kemudian dikerahkan ke lokasi dengan dipandu arah oleh suspek.

“Semua penghuni diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing ketika operasi itu sebagai langkah keselamatan.

“Pemeriksaan lanjut menemui satu objek menyerupai bom tangan di lokasi itu sebelum. Ia diserahkan ke unit bom bagi tujuan analisis,” katanya.

Beliau berkata, kawasan itu kini disahkan selamat selepas pemeriksaan menyeluruh di kawasan kondominium itu.

“Tiada unsur pengganas. Suspek tiada motif mahu meletupkan atau mencederakan sesiapa dalam kes ini.

“Suspek menyorok objek itu kerana bimbang ditahan pihak berkuasa dan dia tidak mempunyai rekod jenayah,” katanya.

Beliau meminta kerjasama orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan penyebaran maklumat di laman sosial tanpa sumber sahih dan tepat daripada pihak berkuasa.

Disiarkan pada: January 14, 2018 @ 12:14am
d