mutakhir

Bumbung berlubang

Oleh Zairee Mohd Yasak

Jasin: Hasrat seorang pemilik kedai emas memulakan perniagaannya terbantut apabila mendapati sebahagian barangan kemas di premisnya lesap dalam kejadian di Jalan Datuk Gan Heng Soo di sini, semalam.

Kejadian dikatakan berlaku lewat malam dan hanya disedari 10.40 pagi oleh pemilik kedai.

Pemiliknya yang hanya dikenali sebagai Sia, 58, berkata, sebaik tiba di kedainya dia masuk seperti biasa dan tidak menyangka premis perniagaan diusahakan sejak lebih 20 tahun itu dipecah masuk.

“Tiada apa yang ganjil, cuma apabila saya masuk ke bilik keselamatan menempatkan peti besi menyimpan barangan kemas, ruangan itu diterangi cahaya matahari dan mula rasa tidak sedap hati.

“Sebaik mendongak ke arah bumbung saya terkejut melihat sebahagiannya sudah pecah lalu bergegas ke arah peti besi dan mendapati ia mempunyai kesan tebukan di bahagian tepi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.

Menurutnya, akibat kerosakan pada peti besinya dia terpaksa memanggil pakar untuk membukanya bagi memeriksa barang kemas miliknya.

“Malang sekali apabila sebahagian barangan kemas disimpan dilarikan penjenayah dan anggaran awal dianggarkan bernilai RM200,000.

“Mereka dipercayai melarikan diri menggunakan pintu bahagian belakang ini kerana lima pintu besi dirosakkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris ketika dihubungi mengesahkan kejadian pecah premis berkenaan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan polis akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari premis berdekatan dalam mengenal pasti identiti suspek.

“Polis percaya kumpulan ini terdiri daripada lebih dua individu dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Mohd Nor Yhazid turut menafikan, kejadian itu tiada kaitan dengan kumpulan ‘Geng Tebuk’ walaupun didakwa modus operandi seakan sama.

Disiarkan pada: January 14, 2018 @ 6:52am
d