mutakhir

Ini sekolah beruk

Oleh Noor Ainum Ibnu Hajar Abu Seman

Jerantut: Minat menjinak beruk mendorong seorang penduduk di Kampung Paya Rajin di sini, membuka ‘sekolah’ bagi melatih haiwan berkenaan memanjat dan memetik kelapa.

Sekolah khas yang dibuka sejak 10 tahun lalu itu menjadi pilihan pemilik haiwan berkenaan di sekitar negeri ini kerana ia melahirkan banyak beruk mahir memanjat dan memetik kelapa.

Sesi pembelajaran haiwan berkenaan juga dibantu tenaga pengajarnya iaitu penduduk kampung yang kebanyakannya turut memelihara beruk.

‘Pengetua’ sekolah itu, Ibrahim Sood, 49, berkata, setiap ‘pelajarnya’ dihantar pemilik masing-masing untuk dilatih selepas dilahirkan.

“Bagaimanapun, saya tidak mengambil sembarangan beruk, sebaliknya melihat pada jenis dan ciri fizikalnya kerana kriteria ini menentukan sama ada beruk itu rajin atau malas serta kekuatannya untuk memanjat.

“Biasanya beruk bukit lebih mudah diajar berbanding beruk paya yang sedikit malas, bersaiz kecil dan tidak kuat memanjat,” katanya, semalam.

Ibrahim berkata, setiap beruk yang dihantar ke sekolahnya ditempatkan dalam sangkar yang juga ‘asrama’ sementara ketika sesi pembelajaran dijalankan.

“Beruk diajar sehingga mahir memulas kelapa, membezakan kelapa tua dan muda serta memanjat pokok kelapa.

“Dalam tempoh seminggu beruk yang dihantar ke sini boleh memulas kelapa dan apabila berusia empat tahun ke atas, ia boleh memanjat pokok kelapa.

“Selain latihan, kesihatan beruk dipantau. Apabila sakit, kita bawa ke klinik veterinar begitu juga pemakanannya.

“Kita tidak beri beruk makan daging kerana dibimbangi bulunya akan luruh,” katanya yang belajar teknik mengajar beruk di Kelantan.

Menurutnya, permintaan tinggi terhadap buah kelapa mendorongnya untuk turut membeli dan menjual beruk berkemahiran pada harga antara RM1,000 hingga RM3,000.

Disiarkan pada: January 14, 2018 @ 7:28am
d