mutakhir

Nature Fun Ride 2018 meriah [METROTV]

Oleh Nor Shayaumil Qhairil Eemann

SERAMAI 1,440 peserta menyertai program berbasikal santai Nature Fun Ride 2018 yang julung kali dianjurkan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar di Putrajaya, hari ini.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Ir Dr Hamim Samuri berkata, melalui program kayuhan santai yang diadakan dapat memberikan kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan menjaga alam sekitar.

“Tahap kesedaran masyarakat tentang kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar masih lagi berada pada tahap yang sederhana.

“Justeru semua pihak perlu meningkatkan kefahaman mereka supaya usaha memelihara alam sekitar terus dipertingkatkan dan bukannya meletakkan tanggungjawab ini kepada kerajaan sahaja," katanya kepada media selepas pelepasan program Nature Fun Ride 2018, di sini hari ini.

Sebanyak 12 agensi di bawah kementerian itu juga turut mengadakan aktiviti menarik kepada orang ramai termasuk memberikan maklumat peranan agensi kepada masyarakat.

Hamim berkata, generasi baharu akan mengucapkan terima kasih kerana pendekatan masyarakat hari ini dalam menjaga alam sekitar.

"Persekitaran yang bersih ini pastinya dapat memberikan manfaat kepada kita dalam menjalani kehidupan seharian dengan lebih sihat.

"Selain aktiviti berbasikal ini, program itu turut mengadakan pertandingan Hamim Yokk Ledang's Challenge iaitu pertandingan permainan aplikasi telefon pintar yang pertama di negara ini yang berkonsepkan eko-pelancongan," katanya.

Disiarkan pada: January 14, 2018 @ 11:34am
d