mutakhir

[UPDATE] Suami itu 'hilang' tiga bulan

Oleh Farah Suhaidah Othman

SUSPEK yang memukul isteri hingga meninggal dunia sudah tiga bulan tidak pulang ke rumah di Taiping selepas dia disahkan menghidap diabetes.

Jiran mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Che Li berkata, lelaki itu bekerja sebagai buruh di pusat penternakan labi-labi dan tidak pulang ke rumah sebaik dimaklumkan menghidap diabetes.

Dia mendakwa, lelaki itu tidak pulang ke rumah selama tiga bulan kerana bimbang kakinya dipotong akibat penyakit itu.

“Doktor memberitahu kakinya mungkin akan dipotong sekiranya diabetes dihidapinya tidak dirawat segera.

“Mungkin atas sebab itu, dia takut dan melarikan diri dari kampung dengan menunggang motosikal dan penduduk kampung pun tidak tahu dia ke mana selepas hilang tanpa khabar berita,” katanya ketika ditemui hari ini.

Che Li berkata, lelaki itu disifatkan sebagai seorang yang peramah dan kelibatnya sering dilihat di Kampung Matang Road, dekat sini.

Seorang lagi penduduk kampung yang hanya mahu dikenali sebagai Lan berkata, dia pernah melihat lelaki itu berjalan tanpa memakai kasut dan ramai mendakwa tindakan itu seperti orang kurang siuman.

“Ramai orang kata dia mempunyai masalah mental tetapi saya nampak dia normal saja. Bagaimanapun saya tidak pernah berbual dengannya,” katanya.

Harian Metro hari ini melaporkan seorang lelaki sanggup memukul isterinya sehingga mati di sebuah rumah di Matang Road, Matang, Taiping, kelmarin.

Mangsa, Noor Waheedah Abd Wahid, 38, meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) akibat trauma tumpul di kepala pada 9.30 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Mohamad Taib dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan daripada suspek yang berusia 40 tahun pada 9.15 pagi memaklumkan isterinya dalam keadaan cedera dan tidak sedarkan diri selepas memukul mangsa.

Katanya, kejadian pergaduhan itu dipercayai berlaku pada waktu malam Khamis lalu.

Berita berkaitan

Pukul isteri sampai mati

Disiarkan pada: January 14, 2018 @ 9:02pm
d