mutakhir

Sesak nafas di puncak Yong Belar

Oleh HM Digital

Gua Musang: Pendaki wanita yang diselamatkan pasukan penyelamat di Gunung Yong Belar, Lojing di sini, kelmarin tidak memaklumkan kepada ahli kumpulan mengenai penyakit dihidapinya.

Malah, Rahimah Saadun, 31, berasal dari Kuala Lumpur hanya memberitahu mempunyai penyakit asma dan talasemia selepas tiba-tiba sesak nafas dan mengalami simptom serangan jantung jam 9.30 malam.

Dia ketika itu dalam perjalanan turun bersama 22 ahli kumpulannya selepas memulakan pendakian ke puncak jam 5 pagi.

Rakan pendakinya, Mohd Aiman Rosdi, 28, berkata, Rahimah kelihatan sihat ketika mereka mendaki dan tidak mempunyai masalah apa-apa.

“Dia tak cakap dia ada penyakit, apatah lagi sebelum ini keadaannya baik sahaja. Ketika lapan jam mendaki ke puncak pun dia tidak mempunyai masalah.

“Cuma ketika perjalanan turun bermula jam 3 petang, dia nampak letih sebelum mengadu sesak nafas. Ketika itu dia beritahu pe nyakit dihidapinya.

“Disebabkan keadaannya yang membahayakan, sebahagian daripada kami turun dulu untuk menghubungi pihak keselamatan manakala beberapa yang lain menunggu bersamanya,” katanya, semalam.

Menurutnya, dia bersyukur apabila pihak berkuasa tiba segera sebaik sahaja dimaklumkan dan jam 5 pagi semalam, Rahimah tiba di kaki gunung dan segera dihantar ke Klinik Kesihatan Lojing sebelum dirujuk ke Hospital Gua Musang.

Disiarkan pada: January 15, 2018 @ 11:18am
d