mutakhir

Tiga jam tunggu giliran

Oleh Asmah Rusman

Kuala Lumpur: Cuaca mendung dan sesekali hujan sejak empat hari lalu bukan saja menyebabkan kedai dobi layan diri di sekitar Lembah Klang diserbu orang ramai, malah pengguna terpaksa menunggu giliran sehingga tiga jam untuk mencuci dan mengeringkan pakaian.

Tinjauan di sekitar Pantai Dalam, Kampung Kerinchi, Kampung Pasir dan Jalan Klang Lama semalam, mendapati orang ramai memenuhi kedai dobi layan diri seawal jam 10 pagi.

Pengguna, Mohd Syafik Abd Majid, 47 berkata, cuti hujung minggu digunakan sepenuhnya untuk mencuci dan mengeringkan pakaian bagi keluarganya terutama pakaian seragam sekolah dua anaknya.

“Saya bawa dua bakul besar pakaian sudah siap dicuci di rumah yang masih berkeadaan lembap dan sejuk kerana tiada cahaya matahari meskipun sudah dua hari dijemur.

“Sementara menunggu mesin pengering, saya cuci sekali pakaian kotor yang berbaki, sekali gus dapat menjimatkan masa kerana balik nanti saya dan isteri perlu bertungkus-lumus melipat pakaian pula,” katanya

Katanya, kelmarin dia datang pada jam 12 tengah hari malangnya kedai dobi layan diri itu sesak dan terpaksa menunggu lama untuk giliran.

“Saya ke tiga kedai dobi layan diri namun semuanya sesak mungkin kerana cuti hari Sabtu maka orang ramai berebut mencuci dan mengeringkan pakaian.

“Sebenarnya pakaian seragam sekolah anak yang perlu dicuci dan dikeringkan terlebih dulu. Cuaca sejuk ini melembapkan pakaian dan kami hanya menjemur di bawah kipas angin untuk mengeringnya,” katanya.

Bagi peniaga nasi lemak, Salbiah Ahmad Sabri, 39, dia hanya ke kedai dobi untuk mengeringkan pakaian sementara proses mencuci dilakukan di rumah untuk menjimatkan masa.

“Memang sejak semalam (kelmarin) kedai dobi layan diri penuh dan sesak. Saya yang datang pada sebelah malam terpaksa menunggu sehingga tiga jam untuk giliran pada hari Jumaat,” katanya.

Disiarkan pada: January 15, 2018 @ 1:05pm
d