mutakhir

'Nak belajar tak senang'

Oleh Aizat Sharif

Pendang: Jijik dan merimaskan. Itu perkataan sesuai menggambarkan keadaan di Sekolah Model Khas Bukit Jenun, di sini, apabila sesi pengajaran dan pembelajaran diganggu ribuan lalat kesan penggunaan baja najis ayam di ladang kelapa sawit berhampiran.

Difahamkan, serangan lalat itu berlarutan sejak dua tahun lalu berpunca daripada kegagalan pemilik ladang penternakan ayam terletak enam kilometer dari sekolah itu menyelenggara sisa najis ayam dengan baik.

Pemiliknya dikatakan mengambil jalan mudah dengan memberikan percuma najis ayam kepada pemilik ladang sawit untuk dijadikan baja.

Apa dikesalkan pemilik ladang sawit itu pula hanya melonggokkan najis ayam di kawasan kebunnya yang berkeluasan 16 hektar itu, sekali gus mengundang jutaan lalat yang kemudian bertebaran ke kawasan kampung dan Sekolah Model Khas Bukit Jenun.

Seorang pelajar, Mohammad Fakhrul Farhan, 17, berkata, keadaan yang berlaku merimaskan murid sekolah berkenaan apabila pembelajaran mereka kerap terganggu dengan kehadiran lalat itu.

“Masalah lalat ini sudah lama berlaku di sekolah ini sampaikan kami sudah lali, tetapi ia cukup merimaskan terutama ketika belajar apabila kami susah nak tumpu perhatian kerana banyak lalat hinggap di merata tempat.

“Apabila waktu rehat pula, kehadiran lalat ini semakin menjadi-jadi menyebabkan kami berasa loya hendak makan kerana makanan dihurung lalat,” katanya.

Pembantu pengusaha kantin sekolah berkenaan, Hafizah Abdullah, 37, berkata, kehadiran lalat yang banyak mengundang keresahan pihaknya dalam menyediakan makanan yang bersih dan selamat untuk pelajar dan kakitangan sekolah.

“Bermacam cara dah digunakan termasuk memasang perangkap lalat, selain menabur daun pandan, menggunakan semburan serai wangi dan membersih lantai dengan kerap bagi mengurangkan kedatangan lalat, namun lalat berkenaan tetap juga datang,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain hadir di sekolah itu dan mengadakan mesyuarat khas berhubung masalah itu bersama Pegawai Daerah Pendang, Zaid Ahmad, Ketua Seksyen (Bukan Ruminan) Jabatan Veterinar Kedah, Zahir Zainuddin, Pegawai Jabatan Veterinar Pendang, Mohd Yazam Basir dan Pengetua Pengetua Sekolah Model Khas Bukit Jenun, Johari Jaafar.

Zahir berkata, pihaknya akan memanggil pemilik ladang ayam dan ladang kelapa sawit bagi meneliti kaedah penyelenggaraan sisa najis ayam di kawasan itu.

Disiarkan pada: January 15, 2018 @ 1:23pm
d