mutakhir

Impak cyber games [METROTV]

Oleh Idris Musa

Kuala Lumpur: Sukan elektronik (e-sukan) ataupun cyber games bukan saja akan menjanjikan peluang dari segi hiburan dan gaya hidup, malah industri baru yang boleh menjana pendapatan besar negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Apabila kita menganggap sebagai satu industri baru, sudah tentu ia akan menjanjikan peluang bukan saja dari segi hiburan dan gaya hidup, tetapi industri baru.

“Kita mestilah menyediakan orang kita supaya mereka dapat menjadi penjana, pembekal, menjadi pelaku yang aktif dalam bidang cyber games ini.

“Saya percaya ia boleh mencetuskan pendapatan yang besar untuk negara,” katanya ketika berucap merasmikan Malaysia Cyber Games 2018 (MCG18) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Pengasas Malaysia Book of Records (MBR) Tan Sri Danny Ooi dan Pengerusi Suara Anak Muda 1Malaysia Datuk Armand Azha Abu Hanifah. Pada majlis itu, MCG18 diiktiraf MBR sebagai penganjuran permainan video terbesar di negara ini membabitkan 2,062 peserta.

Najib yang turut menyokong saranan bagi mengiktiraf MCG sebagai persatuan mewakili e-sukan di negara ini berkata, kerajaan akan terus menyokong usaha mengadakan ‘cyber games’.

“Saya difahamkan ia akan diangkat sebagai sukan peringkat Sukan Asia di Indonesia pada tahun ini dan seterusnya pada masa akan datang mungkin boleh menjadi sukan di peringkat Olimpik,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan hari ini mesti berorientasikan orang muda, berasaskan keperluan masa depan dan mengamalkan pembaharuan.

“Kita mesti menjadi kerajaan yang peduli generasi muda. Kita mesti menjadi kerajaan yang memahami bahasa generasi muda. Kita mesti menjadi kerajaan yang menyediakan keperluan dan aspirasi generasi muda.

“Kita bukanlah sebuah kerajaan sebab kita tak faham maka kita tolak, sebaliknya kita menerima perubahan, ekonomi digital dan revolusi industri keempat dan inilah gaya hidup baru orang muda hari ini,” katanya.

Disiarkan pada: January 15, 2018 @ 1:29pm
d