mutakhir

Berbaloi tunggu tiga jam

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

POLIS terpaksa menunggu tiga jam di dalam ladang kelapa sawit di Felda Pasoh 1 dan 4, Jelebu, yang menjadi sarang penagihan dadah sebelum berjaya menahan tujuh suspek, semalam.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik memulakan operasi 12.15 tengah hari sebelum berjaya menahan semua suspek pada 3 petang.

"Suspek berusia antara 20 hingga 40 tahun itu tidak menyedari kawasan berkenaan sudah dikepung. Sebaik polis menyerbu, ada antara mereka cuba melarikan diri namun tidak berhasil.

"Apabila ditahan, mereka memberi pelbagai alasan kononnya berada di ladang berkenaan kerana bekerja dan tidak terbabit dadah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Susulan serbuan itu, katanya, pihaknya mendapat maklumat mengenai sumber dadah yang diperoleh penagih terbabit sebelum berjaya menahan dua tokan dadah berusia 30 dan 40-an di dua lokasi berasingan di Felda Pasoh 1.

"Pemeriksaan lanjut terhadap kedua-dua suspek itu menemui dadah jenis heroin seberat 0.50 gram (g) serta syabu (0.16g)," katanya.

Katanya, semua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Sekysen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: January 15, 2018 @ 4:41pm
d