mutakhir

Padah rompak kedai dekat polis trafik

Oleh Hadzlihady Hassan

LELAKI ditahan manakala rakannya melarikan diri selepas menyamun kedai emas di Jalan Datuk Ooh Chooi Cheng, Bukit Mertajam, hari ini.

Dalam kejadian 9 pagi itu, dua suspek terbabit yang bersenjatakan pistol meluru masuk ke kedai emas yang juga berhampiran pejabat polis trafik.

Menurut sumber, ketika itu, pemilik kedai berusia 75 tahun diacu pistol dan suspek merampas barang kemas yang disimpan dalam rak kaca pameran.

Mangsa kemudian sempat melarikan diri dan meminta bantuan anggota polis trafik berhampiran kedainya.

“Anggota trafik yang mengawal lalu lintas kemudian mengejar dua suspek terbabit yang ketika itu melarikan diri dengan motosikal secara melawan arus,” katanya.

Sumber berkata, seorang daripada suspek berjaya ditahan manakala rakannya pula melarikan diri dan polis turut menemui kira-kira 10 utas gelang tangan emas.

“Polis juga turut menemui pistol berhampiran lokasi kejadian yang dipercayai ditinggalkan suspek.

“Kita turut menemui baju yang mempunyai kesan darah dipercayai milik suspek yang melarikan diri itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A Tgaiveegan mengesahkan kejadian dan akan membuat sidang media dalam masa tedekat.

Disiarkan pada: January 15, 2018 @ 7:16pm
d