mutakhir

Bakal dapat bumbung baru

Oleh Helmy Abd Rahman

SELEPAS hampir 10 tahun insiden bumbung runtuh berlaku, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di Kompleks Sukan Gong Badak Kuala Nerus bakal dipasang bumbung baru, tidak lama lagi.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, untuk permulaan, stadium berkenaan akan menjalani proses memperkuatkan struktur bangunan lebih dulu.

"Kita dalam proses mengeluarkan tender kepada kontraktor bagi kerja-kerja memperkuat dan memperkemaskan struktur stadium.

"Selepas itu, baru proses pemasangan bumbung dapat dilaksanakan dengan anggaran kos hampir RM100 juta," katanya selepas mengadakan lawatan ke tapak projek Masjid Baru Seberang Takir di Kuala Nerus, hari ini.

Pada 2 Jun 2009, sebahagian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Gong Badak di Kuala Terengganu, runtuh walaupun stadium bernilai RM292 juta itu baru setahun digunakan.

Dalam insiden 9.30 pagi itu, struktur bahagian bumbung di tempat duduk utama termasuk Pentas Diraja ranap dan menimpa sebuah kereta, tiga motosikal serta jentera berat yang diletak berhampiran kawasan itu, tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Stadium yang boleh memuatkan 50,000 orang itu dirasmikan Sultan Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei 2008 dan yang pertama di Asia dibina menggunakan sistem bumbung tanpa sokongan tiang.

Selain itu, Ahmad Razif berkata, Asrama Atlet Majlis Sukan Negeri berdekatan Stadium Mini Kompleks Sukan Gong Badak dengan kos RM100 juta akan memulakan pembinaan pada bila-bila masa.

Disiarkan pada: January 15, 2018 @ 7:37pm
d