mutakhir

Relaks, minyak masak paket cukup...

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor mengingatkan pengguna supaya tidak membuat pembelian panik terhadap minyak masak paket memandangkan bekalan bahan itu di Johor adalah mencukupi.

Pengarah KPDNKK Johor, Khairul Anwar Bachok berkata, di Johor masih terdapat 4,700 tan metrik minyak masak dalam simpanan yang boleh dibekalkan kepada pengguna.

"Kita mendapati tiada kekurangan yang berlaku bagi bekalan minyak masak di negeri ini. Kita mempunyai 4,700 tan metrik dengan 37 syarikat pembekal.

"Kita tidak menolak kemungkinan ada minyak masak paket 1 kilogram yang sepatutnya untuk orang awam, tetapi dibeli oleh peniaga-peniaga menyebabkan kekurangan stok di pasaran.

"Tetapi, kita sentiasa memantau dan stok bekalan yang ada boleh dibekalkan di lokasi tertentu sekiranya mendapat aduan kehabisan stok," katanya ketika sidang media pra pelancaran Karnival Jualan Mega Muafakat Johor dan Biorosort, Biokompos 2018 di Pejabat KPDNKK Johor, Johor Bahru, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan Dan Kepenggunaan Negeri Johor, Datuk Tee Siew Kiong.

Khairul Anwar berkata, tiada kekurangan minyak masak secara kritikal seperti di negeri lain dan orang ramai diingatkan supaya tidak membuat pembelian panik.

Sementara itu, Karnival Jualan Mega Muafakat Johor dan Biorosort, Biokompos 2018 akan berlangsung selama tiga hari bermula 26 Januari ini di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG).

Menurut Tee, buat pertama kalinya, acara tahunan itu akan diadakan di tiga lokasi tahun ini termasuk Pontian pada Februari dan Muar pada Mac nanti.

"Kita menyasarkan kira-kira 30,000 rakyat akan membanjiri stadium MPPG sepanjang tiga haru acara ini berlangsung.

"Sambutan yang diterima pada tahun sebelum ini amat baik dan sebab itu kita meneruskan lagi penganjurannya pada tahun ini.

"Ini adalah inisiatif Kerajaan Negeri Johor bagi menangani kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat pada masa kini," katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang berkunjung ke karnival berkenaan bakal menikmati tawaran harga 50 peratus bagi semua 61 vendor terbabit termasuk barangan dapur, barangan segar dan keperluan harian.

"Kita juga menyambut baik kerjasama J Biotech untuk menganjurkan kempen kesedaran, ceramah dan pameran berhubung pelaksanaan Biorosort dan Biokompos di Johor," katanya.

Disiarkan pada: January 15, 2018 @ 8:15pm
d