mutakhir

Tumpu projek jangka pendek, sederhana

Oleh Norasikin Daineh

KEMENTERIAN Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) akan memberi tumpuan dalam pelaksanaan projek jangka pendek dan sederhana pada tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan projek itu mendapat jaminan daripada agensi dan kerajaan negeri untuk segera dilaksanakan.

"Projek jangka pendek akan bermula awal Februari dan siap selewat-lewatnya pada 31 Mac ini, manakala pelaksanaan projek jangka sederhana mengambil masa dalam tempoh enam bulan.

"Projek jangka pendek ini membabitkan projek seperti pembinaan jalan kampung, pembaikan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan memasang lampu jalan kampung selain meningkatkan ekonomi rakyat menerusi kursus bakeri," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Antara Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dengan Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB) di Kota Kinabalu, hari ini.

Ismail Sabri berkata, kira-kira 50 peratus peserta yang mengikut kursus pendek seperti pembuatan kuih memulakan perniagaan mereka sehingga mampu menjana pendapatan lebih RM1,500 sebulan.

"Projek jangka pendek menjadi tumpuan kementerian termasuk di Sabah kerana negeri ini memerlukan lebih banyak projek seperti ini.. (ini) kerana masih banyak jalan kampung yang perlu dinaiktaraf," katanya.

Katanya lagi, pelaksanaan projek jangka sederhana dibuat dalam tempoh enam bulan tetapi tidak semestinya siap dalam tempoh berkenaan.

Terdahulu, Ismail Sabri berkata, dalam mesyuarat itu sebanyak empat kertas kerja dibentangkan dan untuk dibincangkan.

"Ada empat kertas kerja dibentangkan iaitu pembentangan bajet 2018, masalah pembangunan Rumah Bina Negara, pengwujudkan Tabika Transit Kemas dan cadangan untuk mempercepatkan pelaksanaan projek," katanya.

Disiarkan pada: January 15, 2018 @ 11:02pm
d