mutakhir

GERAH tumpu pemandu teksi

Oleh Razif Rosli

PEMANDU teksi bakal menjadi mata dan telinga bagi pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di negeri ini selaras dengan usaha pihak berkuasa dalam mengurangkan kadar rasuah di Perak.

Pengarah SPRM negeri, Datuk Zainul Darus berkata, usahasama ini bakal diperhebat menerusi Sahabat Gerakan Revolusi Anti Rasuah (GERAH) yang mempelawa dan mengalu-alukan penyertaan daripada semua lapisan masyarakat.

Menurutnya, kali ini GERAH menumpukan kepada hentian pemandu teksi bagi menjalin rangkaian kerjasama supaya rakyat sentiasa bersama SPRM dalam perang menghapuskan jenayah rasuah dan salah guna kuasa.

"Kita dapat arahan kali ini turun ke tempat hentian teksi untuk jalinkan kerjasama. Mereka antara individu yang hari-hari bertemu berlainan individu dan kita yakin mampu membawa perubahan besar.

"Kita mahu masyarakat menjadikan SPRM sebagai rakan mereka kerana kita tidak boleh bergerak sendirian dan perjuangan memerangi jenayah rasuah ini memerlukan kerjasama semua pihak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG), hari ini.

Majlis melafaz dan menandatangani IBR itu diketuai oleh Yang Dipertua MDBG, Mohamad Razif Ramli dan menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) keenam negeri ini yang menandatangani IBR bersama SPRM.

Tambah Zainul lagi, sejak GERAH dilancarkan Ogos tahun lepas, Perak telah mencatatkan 10,000 ahli dan pihaknya mensasarkan lebih 10,000 lagi akan berdaftar pada tahun ini.

"Gerah adalah gelombang perubahan terhadap masyarakat supaya membenci rasuah, memandang jijik kepada pesalah rasuah serta mempunyai kekuatan dalaman untuk mengatakan tidak kepada rasuah dan salah guna kuasa.

"Kita harap ia akan mencapai matlamat kita untuk memberi kesedaran tentang bahayanya rasuah san salah guna kuasa di semua lapisan masyarakat," katanya.

Disiarkan pada: January 15, 2018 @ 11:46pm
d