mutakhir

9 tetap digantung

Oleh Murni Wan Omar

Putrajaya: Mahkamah Persekutuan di sini, semalam mengekalkan hukuman mati terhadap sembilan warga Filipina atas kesalahan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dalam serangan bersenjata di Lahad Datu, Sabah, lima tahun lalu.

Dalam keputusan sebulat suara, panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Raus Sharif memutuskan bahawa hukuman mati adalah wajar diberikan kepada semua perayu.

“Kami membuat keputusan berdasarkan penemuan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi. Kami bersetuju dengan kedua-dua mahkamah itu dan tidak mempunyai alasan untuk membuat keputusan berlainan. Oleh itu, kami menolak rayuan dan sabitan kesalahan itu adalah selamat.

“Berhubung dengan keputusan, kami bersetuju hukuman mati adalah keputusan yang wajar berdasarkan penemuan fakta dalam kes ini. Kami menolak rayuan perayu dan mengesahkan hukuman mati,” katanya.

Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman mati terhadap Atik Hussin Abu Bakar, 47, Basad H Manuel, 43, Ismail Yassir, 78, Virgilio Nemar Patulada, 58, Salib Akhmad Emali, 65, Al Wazir Osman, 63, Tani Lahad Dahi, 65, Julham Rashid, 71, dan Datu Amirbahar Hushin Kiram, 55.

Datu Amirbahar adalah anak saudara Jamalul Kiram III yang mengetuai pencerobohan itu.

Turut bersidang ialah Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Richard Malanjum, Tan Sri Ramly Ali dan Tan Sri Azahar Mohamed.

Barisan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Awang Armadajaya Awang Mahmud manakala peguam Datuk N Sivananthan bertindak bagi pihak responden.

Mahkamah Rayuan sebelum ini menggantikan hukuman penjara sepanjang hayat yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Sabah kepada hukuman mati.

Sementara itu, Mahkamah Persekutuan dalam keputusannya menolak rayuan pendakwaan terhadap pembebasan 14 orang daripada pelbagai pertuduhan membabitkan kes itu.

Mereka membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi yang membebaskan mereka dan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan.

Mereka ialah Kadir Uyung, 31, Lating Tiong, 21, Masir Aidin, 23, Anwar Salib Akhmad, 34, Binhar Salib Akhmad, 32, Rijmal Salleh, 25, Abdul Majil Jubin, 46, Rizman Gulan, 24, Dani Ismail, 61, Totoh Hismullah, 60, Saidili Jaharul, 56, Basil Samiul, 38, Abdul Hadi Mawan, 54, dan Salib Akhmad.

Semua responden didakwa dengan pelbagai tuduhan antaranya merekrut dan menyeludup anggota pengganas, menganggotai kumpulan pengganas dan menyokong aktiviti kumpulan pengganas.

Salib Akmad bagaimanapun kekal dikenakan hukuman mati atas pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Abdul Hadi Mawan pula bebas daripada pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong bagaimanapun, hukuman penjara 16 tahun kekal atas kesalahan menjadi anggota kumpulan pengganas.

Mahkamah membenarkan permohonan Awang Armadajaya supaya eksibit kes diserahkan kepada polis untuk dihantar ke muzium bagi tujuan direkodkan sebagai sebahagian daripada sejarah negara.

Terdahulu, bagi langkah keselamatan berikutan ia kes berprofil tinggi, semua perayu dikawal ketat anggota polis, kakitangan penjara dan pasukan Unit Tindakan Khas.

Pihak media yang membuat liputan diletakkan di mahkamah bersebelahan dan prosiding kes yang bermula jam 9 pagi diikuti secara langsung melalui sidang video.

Pada 8 Jun tahun lalu, Mahkamah Rayuan Putrajaya memutuskan bahawa hukuman mati adalah paling wajar dikenakan terhadap semua perayu.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Mohd Zawawi Salleh membenarkan rayuan pendakwaan dan memerintahkan hukuman penjara sepanjang hayat yang dikenakan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu terhadap semua perayu pada 26 Julai 2016 digantikan dengan hukuman mati.

Disiarkan pada: January 16, 2018 @ 4:38am
d