mutakhir

Berpusu-pusu di Pantai Kempadang

Oleh HM Digital

Kuantan: Kemunculan pelbagai spesies hidupan laut termasuk kepah, lala dan kerang di Pantai Kempadang di sini, menyebabkan penduduk berpusu-pusu ke kawasan berkenaan sejak kelmarin.

Ia bagaikan pesta apabila orang ramai mengambil peluang sempena cuti hujung minggu ke pantai berkenaan bersama keluarga dengan membawa pelbagai alatan untuk mencari spesies itu.

Mohd Chahrul Ramaddan Yaacob, 26, berkata, dia mengetahui perkara itu selepas ia tular dalam Facebook dan WhatsApp sejak awal pagi kelmarin.

“Jadi, saya bersama isteri mengambil peluang mengutip kerang selepas ia tular di media sosial.

“Saya datang sejak jam 4 petang dan memang berhajat untuk datang selepas mengetahuinya melalui Facebook. Tahun lalu pun saya ada mendengar perkara sama berlaku di sini, tetapi tidak sempat datang,” katanya ketika ditemui.

Dia yang tinggal Sungai Ular, Cherating berkata, dia memang menggemari makanan laut dan sanggup datang walaupun jarak rumahnya lebih 40 kilometer dari Pantai Kempadang.

“Rasanya lebih dua kilogram kepah yang saya dapat. Boleh buat hidangan makan malam untuk seisi keluarga, tidak payah beli di kedai,” katanya.

Aziah Bidin, 42, dari Taman Tas di sini, berkata, dia bersama suami dan dua anaknya ke kawasan pantai berkenaan sejak jam 3 petang untuk mencari kerang.

“Apabila dapat tahu, saya segera datang bawa anak-anak semua. Bila sampai sini tengok orang ramai sudah ada di pantai.

“Mungkin hidupan laut ini hanyut sebab arus kuat, namun Alhamdulillah, inilah yang dikatakan rezeki musim hujan. Sejak dua tahun kebelakangan ini, kepah akan terdampar selepas kejadian ombak besar dan angin kuat,” katanya.

Bagi Izati Abdul Rahman, 17, itu kali pertama dia mencari kepah yang terdampar di pantai dan usahanya tidak sia-sia.

“Saya sangat teruja apabila mendapati ada kerang, lala dan kepah yang terdampar dengan jumlah banyak. Hanya dalam beberapa jam saya bersama keluarga sudah memperoleh dua kilogram kepah. Memang berbaloi kerana dapat dijadikan hidangan makan malam,” katanya.

Disiarkan pada: January 16, 2018 @ 4:51am
d