mutakhir

Khabar gembira buat pesara polis [METROTV]

Oleh Idris Musa dan Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan khabar gembira yang akan memberikan manfaat kepada pesara polis di seluruh negara, semalam.

Beliau berkata, kerajaan meluluskan peruntukan RM3 juta untuk Tabung Amanah Warisan Polis setiap tahun selama tiga tahun bagi membantu pesara dan keluarga mereka.

Turut diumumkan kuota khas haji pesara polis, peruntukan 10,000 rumah menerusi skim perumahan mampu milik Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia dan penyusunan semula Bahagian Hal Ehwal Veteran Polis.

Bagi kuota khas haji pesara polis, beliau berkata, jumlahnya diumumkan selepas mendapat isyarat mengenai jumlah keseluruhan kuota haji daripada Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud.

“Saya tak nak umum jumlahnya (sekarang). Tengok tahun ini berapa banyak kita dapat (kuota keseluruhan). Daripada situ nanti insya-Allah saya akan beritahu kepada Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Polis Negara jumlah yang boleh kita khaskan untuk pesara polis,” katanya pada Majlis Perjumpaan Pesara-Pesara Polis Bersama Perdana Menteri di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Pada majlis itu, Najib mengurniakan Pingat Jasa Pahlawan Negara kepada 13 penerima.

Beliau mengingatkan pesara polis untuk bersama-sama menentukan masa depan negara dan amanah yang perlu digalas dengan sebaik-baiknya.

“Jangan menggadai maruah bangsa, agama dan negara. Itu prinsip. Prinsip mesti ada. Hidup ini mesti ada maruah dan prinsip.

“Kita nak main politik sikit-sikit itu tak apalah. (Namun politik) mesti berasaskan moral.

“Bukan politik sebagai permainan. Hari ini buat ini, besok buat lain, lusa buat lain. Tidak, itu bukan politik yang menguntungkan bangsa, agama dan negara,” katanya.

Disiarkan pada: January 16, 2018 @ 4:53am
d