mutakhir

Bateri masuk hidung

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuantan: Kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun menanggung penderitaan hampir enam jam selepas mengalami pendarahan hidung akibat tersumbat bateri lithium di Pulau Tioman, Rompin, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, mangsa, Damiya Az Zahra Mohd Azwan Azwani pada mulanya dibawa keluarganya ke Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman selepas secara tidak sengaja memasukkan bateri itu ke dalam hidung sebelum disedari bapanya.

Mangsa kemudian diperiksa pegawai perubatan di kilinik itu sebelum kanak-kanak terbabit dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, untuk rawatan lanjut.

Pegawai perubatan di klinik itu menghubungi Pusat Operasi Maritim Wilayah Timur bagi mendapatkan pesawat untuk penerbangan ihsan membawa mangsa ke HTAA.

Pengarah Maritim Wilayah Timur Laksamana Pertama Maritim Zulkarnain Mohd Omar berkata, pihaknya menerima panggilan jam 5.40 petang sebelum pesawat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Agusta AW 139 digerakkan ke pulau itu untuk membawa mangsa ke hospital.

“Bagaimanapun, pesawat mengalami sedikit kelewatan berikutan cuaca buruk di sekitar Pulau Tioman menyebabkan kanak-kanak itu hanya dapat diterbangkan jam 10.15 malam sebelum tiba sejam kemudian di Kuantan,” katanya.

Beliau berkata, tiga kru penerbangan bertanggungjawab membawa mangsa ke HTAA selain anggota keluarga kanak-kanak berkenaan dan pegawai perubatan.

Difahamkan, sebaik tiba di Padang Kemunting di sini, mangsa segera dihantar dengan ambulans ke HTAA untuk menjalani pembedahan kecil mengeluarkan bateri berkenaan.

Disiarkan pada: January 16, 2018 @ 5:09am
d