mutakhir

Mujur pelajar kita tak cedera!

Oleh Hayati Ibrahim

KIRA-KIRA 22 penuntut Malaysia dan beberapa pegawai Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) disahkan selamat dalam insiden runtuhan balkoni di bangunan bursa saham Indonesia, Jakarta, Indonesia semalam.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, 22 penuntut berkenaan adalah dari Management Science University (MSU) dan pegawai KPT yang mewakili Malaysia bagi pertandingan ASEAN CIMB Stock Challenge 2.0.

"Ketika kejadian mereka berada berhampiran dengan tempat insiden. Bagaimanapun semua rakyat Malaysia terbabit dilaporkan selamat dan sudah dievakuasi ke bangunan Graha CIMB Niaga yang terletak bersebelahan.

"Kementerian Luar menerusi Kedutaan Besar di Jakarta sedang memantau perkembangan berkaitan,"katanya.

Menurut kenyataan itu, pihak kedutaan kini giat memberikan bantuan konsular kepada rakyat Malaysia yang terbabit dalam insiden.

"Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta boleh dihubungi menerusi emel mwjakarta@kln.gov.my atau talian telefon +62215224947 dan +6281380813036,"katanya.

Dalam kejadian jam 11.55 pagi semalam, sekurang-kurangnya 75 cedera, termasuk sekumpulan penuntut kolej yang berada di atas beranda bangunan berkenaan.

Ketika kejadian, kumpulan penuntut antara 40 hingga 50 orang itu sedang mengikuti lawatan di Menara II Bursa Efek Indonesia (BEI).

Jurucakap polis Setyo Wasisto dipeik berkata, kejadian itu berpunca dari kemalangan dan bukannya akibat letupan bom.

Beliau dipetik berkata, tiada mangsa yang dilaporkan maut dalam insiden berkenaan.

Kebanyakan mangsa mengalami kecederaan pada kaki dan tangan, termasuk ada yang patah tulang.

Kejadian berlaku tidak lama selepas tengah hari ketika pasaran berhenti untuk rehat tengah hari.

Disiarkan pada: January 16, 2018 @ 11:22am
d