mutakhir

15,000 peluang pekerjaan ketika SL1M [METROTV]

Oleh Hamizah Badiran

LEBIH 15,000 jawatan kosong menunggu pencari kerja dan graduan pada program Hari Terbuka Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) Peringkat Zon Tengah yang akan diadakan di Taman Pameran Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang pada 24 dan 25 Februari ini.

Program pembukaan SL1M bagi tahun ini akan disertai kira-kira 26 syarikat termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Lebih menarik ia turut diserikan dengan kehadiran artis popular seperti Faizal Tahir, Kumpulan Zero, Wany Hasrita, Sufian Suhaimi, Aiman Tino, Hael Husaini, Tajul, Haqiem Rusli dan Kumpulan Bocey.

Selain itu, sesi motivasi khas bersama ahli perniagaan Mohd Sukur Ibrahim dan Imam Muda Asyraf juga akan diadakan.

Ketua Sekretariat SL1M Norashikin Ismail berkata, SL1M masih mengekalkan konsep sama iaitu menawarkan peluang pekerjaan dan latihan kepada semua pencari kerja tanpa mengira latar belakang serta peringkat kelulusan dalam skala lebih besar pada program sulung ini.

“Sesi temuduga akan dijalankan secara langsung atau terus oleh syarikat yang terbabit pada hari itu dan SL1M menjangkakan kira-kira 50,000 pengunjung akan hadir membanjiri MAEPS kali ini.

“Saya menasihatkan pencari kerja terutama graduan supaya hadir untuk merebut peluang berharga ini bagi memajukan ekonomi diri terutamanya dan keluarga amnya,” katanya pada sidang media di Seri Kembangan, hari ini.

Program ini bakal dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Turut diadakan klinik resume dan ceramah kerjaya serta gerai jualan.

Pengunjung juga berpeluang memenangi cabutan bertuah seperti Perodua Myvi 1.3, motosikal, telefon pintar, barangan elektrik dan banyak lagi.

Selepas ini, SL1M akan berkunjung ke Sabah, Kedah, Kelantan, Sarawak dan Johor Bahru.

Disiarkan pada: January 16, 2018 @ 4:57pm
d