mutakhir

Padah usik meter elektrik

Oleh Muhammad Saufi Hassan

MAHKAMAH Sesyen Alor Setar, Kedah, semalam membenarkan tuntutan kerugian hasil Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjumlah RM120,106.58 disertai kos berjumlah RM9,285 terhadap Langkawi Airport Hotel Sdn Bhd berikutan pengusikan pepasangan meter elektrik di premis berkenaan.

Dalam penghakimannya, TNB selaku plaintif berjaya membuktikan terdapat pengusikan meter elektrik ketika kakitangan TNB melakukan pemeriksaan di premis berkenaan beralamat di Jalan Padang Matsirat, Langkawi.

TNB diwakili peguam Ong Wee En dan Sarah Hani Rohizam daripada firma guaman Tetuan Lim Huck Aik & Co mengemukakan tuntutan berkenaan terhadap kesalahan yang dilakukan defendan.

Berdasarkan fakta kes, defendan didapati melakukan beberapa kesalahan pengusikan meter elektrik dan hasil pemeriksaan mendapati pelekat untuk panel CT (Alat Ubah Arus) koyak, paparan Phasor Diagram pada Set Ujian Mudah Alih (PTS) menunjukkan arus untuk fasa biru terbalik pada kedudukan sudut fasa.

Selain itu, didapati juga pendawaian arus sekunder S1 dan S2 pada fasa biru diterbalik pada terminal CT dan keadaan itu mengakibatkan meter tidak merekodkan bacaan sebenar bagi premis defendan.

Sepanjang perbicaraan berlangsung, TNB mengemukakan 10 saksi manakala dua saksi dikemukakan defendan.

Perbicaraan penuh terhadap kes berkenaan diadakan sepanjang enam hari iaitu pada 5 Disember 2016, 9 dan 23 Januari 2017, 15, 27 dan 28 Februari 2017.

Defendan yang diwakili oleh C Megalai daripada Tetuan Meg Nacha Zahir & Co mengemukakan rayuan dengan kos RM5,000 tetapi ditolak mahkamah.

Hakim Mahkamah Tinggi (Dalam Bidang Kuasa Rayuan) bersetuju dengan keputusan bahawa TNB sudah membuktikan pengguna bertanggungjawab dengan pengusikan pemasangan meter.

Perayu juga bertanggungjawab untuk membayar jumlah kerugian yang dituntut TNB.

Disiarkan pada: January 16, 2018 @ 6:29pm
d