mutakhir

Naik taraf makam Sultan Kedah ke-14

Oleh Mohd Sharumnisham Shahbudin

MAKAM Sultan Kedah ke-14, Almarhum Sultan Muhyidin Mansor Shah di Kampung Chegar, Mukim Jeram, Kubang Pasu akan dinaik taraf infrastrukturnya.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan serta Kerja Raya Kedah, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid berkata, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya Kedah akan membina kembali makam berkenaan selepas Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) mengesahkan kesahihan pemilik makam itu.

"Usaha ini penting sebagai sumber sejarah kesultanan dan rakyat Kedah dan jika tiada tindakan segera, kemungkinan sejarah ini akan hilang begitu sahaja.

"Buat permulaan, kita sudah mengenal pasti pemilik terkini tanah berkenaan dan berbincang dengan mereka mengenai kaedah terbaik untuk pengambilan lot tanah itu," katanya selepas mengadakan lawatan ke tapak makam berkenaan hari ini.

Beliau berkata, antara kemudahan yang bakal disediakan ialah bangunan makam berbumbung dan laluan masuk dari jalan utama.

Sultan Mahyudin Mansor Shah memerintah Kedah dari 1650 hingga 1660 dan makaman itu ditemui PSMCK pada 24 Mac 2017 selepas dimaklumkan penduduk kampung.

Sementara itu, Pengerusi PSMCK, Datuk Wan Samsudin Wan Yusof berkata, batu nisan di makam itu tertera tulisan jawi nama sultan terdahulu daripada Sultan Mahyudin.

"Selepas dikaji, tulisan itu bermaksud Sultan Al Haq Muhyidin Bin Hussain Bin Sultan Rijaluddin Shah Bin Sulaiman Shah Bin Mudzaffar Bin Mahmud Shah.

"Nama-nama ini didapati mempunyai persamaan dengan nama sultan yang tercatat dalam buku Al Tarikh Salasilah Negeri Kedah yang ditulis pada 1928 oleh Mohammad Hassan Kerani Mohd Arshad dan ini membuktikan kesahihan makam ini," katanya.

Turut hadir Pengarah JKR Kedah, Wan Mohd Hilmi Wan Mahmud, Pengarah Lembaga Muzium Negeri Kedah, Suhaidi Shukri dan Pegawai Daerah Kubang Pasu, Mohd Fisol Md Noh.

Disiarkan pada: January 16, 2018 @ 7:13pm
d