mutakhir

Didakwa culik anak ahli perniagaan[METROTV]

Oleh Siraj Mohd Zaini

PENGANGGUR berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini, kerana menculik anak ahli perniagaan dan meminta wang tebusan sebanyak RM300,000 pada 12 Disember lalu.

Tertuduh K Poonganeshwaran, 35, bagaimanapun hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin namun tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, dia bersama enam lagi lelaki yang masih bebas telah menculik lelaki berusia 35 tahun dengan tujuan meminta wang tebusan RM300,000.

Perbuatan itu dilakukan di Bandar Baru Sungai Buloh pada 9.10 malam, 12 Disember lalu.

Sehubungan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 (Akta 365) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau dipenjara seumur hidup dengan sebatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Megat Tharih Afendi dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan kes disebut semula pada 20 Februari ini.

Disiarkan pada: January 16, 2018 @ 7:35pm
d