mutakhir

Dugaan...

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

LAGI tiga puluh pesawah dari Perlis mengalami kerugian lebih RM200,000 apabila tanaman padi mereka seluas 115 hektar di Kampung Belat Batu, Guar Sanji, Arau, rosak diancam masalah padi angin.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan 16 pesawah dari Kampung Sungai Baru Tengah, Kangar, berdepan masalah sama dan kerugian lebih RM70,000.

Kumpulan pesawah berkenaan menuntut penjelasan dari pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berikutan tanaman mereka memperoleh benih, baja dan racun dari anak syarikat MADA.

Ketika ditemui, pesawah terbabit melahirkan rasa bimbang kerana terpaksa menanggung kerugian besar berikutan jumlah pendapatan yang diperoleh tidak melebihi RM715 sehektar.

Seorang pesawah, Saifullah Abi Jamrah, 33, berkata, tanaman padi miliknya terjejas teruk berikutan jumlah pengeluaran padi angin mengatasi jumlah padi normal.

Malah, katanya, dia terpaksa menundakan tarikh perkahwinan daripada Mac ke hujung tahun ini berikutan hasil keluaran padi tidak dapat menanggung kos perbelanjaan perkahwinannya yang dirancang.

"Kami yang mewakili lebih 1,500 ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Arau meminta pihak yang berkaitan terutamanya EXCO Pertanian negeri untuk sama-sama turun padang melihat keadaan kami.

"Rata-rata penduduk di sini mengusahakan tanaman padi sebagai punca utama rezeki untuk menyara keluarga.

"Bagaimana kami hendak menyara keluarga jika pendapatan tidak sampai RM1,000 bagi sehektar tanaman padi," katanya yang mengusahakan tanaman padi berkeluasan 1.5 hektar.

Bagi Zamzuri Ishak, 34, impiannya untuk memperbaiki rumah tidak kesampaian apabila kerugian hampir RM25,000 berikutan masalah itu.

"Mungkin bukan rezeki saya tahun ini untuk memperbaiki atap rumah yang bocor berikutan hasil pengeluaran tanaman padi tidak begitu membantu.

"Memang kami berharap sangat supaya ada pihak dari MADA atau kerajaan negeri turun padang lihat keadaan kami yang begitu sukar ini.

"Nak kata kami menggunakan benih yang tidak diiktiraf mustahil, sebab kami memperolehnya dari pihak mereka dan mengikut segala prosedur mereka," katanya yang menanam padi sejak 15 tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Cawangan Komunikasi Korporat Ibu Pejabat MADA, Mohd Hafizi Zakaria ketika dihubungi berkata, faktor utama terjadinya padi angin adalah disebabkan cuaca tidak menentu.

Katanya, setakat ini jumlah lot sawah yang terjejas akibat padi angin di bawah bimbingan MADA adalah sebanyak 15,000 hektar daripada keseluruhan 100,000 hektar tanaman padi di Kedah dan Perlis.

"Hasil pemerhatian dan penelitian pihak MADA, fenomena padi angin ini berlaku berikutan taburan hujan yang begitu tinggi pada musim kali ini.

"Sejak Ogos sehingga November 2017 taburan hujan meningkat kepada 1,507 milimeter daripada 936 millimeter sebelumnya sehingga menjejaskan aktiviti rutin petani," jelasnya.

Menurut Mohd Hafizi, pihaknya merancang pertemuan dengan pesawah bimbingan MADA bagi menjelaskan isu berkenaan.

"Kita akan berjumpa dengan pesawah bagi menjelaskan isu berkenaan di samping melakukan persediaan menghadapi musim menabur benih yang akan datang.

"Pihak MADA memahami masalah dihadapi oleh pesawah dan kita sudah menghantar laporan mengenai isu ini kepada pihak atasan bagi membantu mereka memandangkan tanaman padi adalah sumber mata pencarian utama mereka," katanya.

Disiarkan pada: January 16, 2018 @ 8:32pm
d