mutakhir

Syukur selamat keluar daripada Pulau Tioman

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

“KAMI ke Pulau Tioman untuk berbulan madu sejak Selasa minggu lalu dan sepatutnya pulang pada Khamis, namun tidak menyangka akan terkandas di pulau berkenaan.

"Bagaimanapun kami bersyukur kerana selamat dibawa keluar dengan dibantu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Hanya ucapan terima kasih yang mampu kami ucapkan," kata Isma Syukri Ishak, 28.

Dia dan isteri, Nur Faradila Daud, 28, antara 98 pelancong yang dibawa keluar dari Pulau Tioman dalam proses evakuasi dengan menaiki kapal KD Terengganu selepas terkandas di pulau berkenaan sejak Khamis lalu dan selamat tiba di Pangkalan TLDM, Tanjung Gelang, Kuantan 6.45 petang hari ini .

Katanya, dia sememangnya merancang untuk berbulan madu di pulau peranginan itu dan sudah membuat tempahan hotel lebih awal.

Pasangan yang baru bernikah pada 7 Januari itu mendakwa tidak dimaklumkan mengenai keadaan cuaca semasa oleh ejen pelancongan yang menguruskan pakej percutian mereka.

"Kami tahu keadaan cuaca kurang baik ketika ini, namun menyangka mungkin tiada masalah untuk kami ke sana, lagipun ejen pelancongan tidak memaklumkan apa-apa.

"Ketika mahu bergerak pulang pada Khamis, kami dimaklumkan perkhidmatan feri dibatalkan, malah isteri terpaksa mengambil cuti kecemasan semalam kerana tempoh cutinya sudah berakhir," katanya.

Pelancong dari Jerman, Linda seufert, 18, berkata, dia bersama rakannya, Luise Fella, 18, sedia maklum dengan keadaan cuaca semasa di pulau berkenaan, namun tetap meneruskan percutian mereka.

"Kami sepatutnya berada di Tioman selama seminggu sejak Selasa minggu lalu, namun mengambil keputusan untuk keluar dari pulau itu pada Khamis apabila melihat cuaca semakin buruk.

"Selepas terkandas selama enam hari, kami akhirnya berjaya keluar. Selepas ini kami akan meneruskan percutian di Melaka," katanya.

Daripada jumlah 98 pelancong itu, 54 adalah pelancong asing manakala selebihnya adalah pelancong tempatan.

Turut dibawa keluar 15 penduduk Pulau Tioman termasuk tiga penduduk yang mengalami masalah kesihatan dan memerlukan rawatan lanjut di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.

Sementara itu, Panglima Wilayah Laut 1 Laksamana Muda Datuk Mohamad Adib Abdul Samad berkata, KD Terengganu digerakkan ke Pulau Tioman pada malam tadi dan tiba di pulau pelancongan itu sekitar pukul 3 pagi, sebelum proses evakuasi bermula pada 7.30 pagi tadi sebelum memulakan pelayaran pulang pada pukul 10 pagi.

"Kita tidak menghadapi masalah berat melainkan beberapa orang mengalami mabuk laut. Bagaimanapun diakui ombak agak besar hari ini iaitu sekitar 3.5 ke 4 meter menyebabkannya tidak selamat kepada feri pelancongan.

"Setibanya mereka di pangkalan, terdapat sebuah bas disediakan untuk membawa pelancong luar negara ke Terminal Sentral Kuantan untuk mereka meneruskan perjalanan ke ibu negara, manakala tiga buah bas pula untuk membawa pelancong tempatan ke Mersing," katanya.

Disiarkan pada: January 16, 2018 @ 9:39pm
d