mutakhir

3.6 juta belum daftar undi

Oleh Nursyahirah Marzuki

SERAMAI 3.6 juta warganegara yang berumur 21 tahun ke atas belum mendaftar sebagai pemilih sehingga suku ketiga tahun lalu.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, bagi tempoh sama jumlah pemilih yang terdapat dalam Daftar Pemilih adalah 14.8 juta.

"Bagi tempoh pendaftaran pemilih bagi Suku Tahun 4/2017 iaitu Oktober, November dan Disember 2017, SPR menerima 285,040 permohonan pendaftaran sebagai pemilih.

"Ia terdiri daripada 212,042 pendaftaran pemilih baru dan 72,998 permohonan untuk pertukaran alamat bahagian pilihan raya daripada pemilih yang sedia berdaftar dengan SPR," katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Abdul Ghani berkata, selaras dengan kehendak Peraturan 13, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya Pendaftaran Pemilih) 2002, Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi Suku Tahun 4/2017 akan dipamerkan selama 14 hari.

"Pameran akan bermula esok hingga 30 Januari di 961 tempat pameran di seluruh negara.

"Sepanjang tempoh pameran berlangsung, pemohon yang memohon untuk mendaftar sebagai pemilih baru atau menukar alamat bahagian pilihan raya pada tempoh berkenaan dinasihatkan menyemak Rang DPT Suku Tahun 4/2017,"katanya.

Katanya, jika pemohon baharu mendapati namanya tidak tersenarai dalam Rang DPT itu, mereka boleh membuat tuntutan dengan menggunakan Borang B.

Beliau berkata, borang berkenaan kemudian diserahkan kepada Pendaftar (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja dalam tempoh pameranRang DPT itu.

"Pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang alam Rang DPT Suku Tahun 4/2017 di satu-satu bahagian pilihan raya, mereka boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang C.

"Seorang pembantah boleh membantah tidak melebihi 20 orang selaras dengan Peraturan 15 (3) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

"Bantahan hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja dalam tempoh pameran Rang DPT berkenaan," katanya.

Menurutnya, ketika tempoh pameran Rang DPT itu, SPR juga mempamerkan nama pemilih yang akan dikeluarkan dari Daftar Pemilih atas sebab mereka didapati tidak berhak untuk terus kekal dalam daftar pemilih atas sebab tertentu termasuk sudah meninggal dunia, melepaskan atau dilucutkan hak kewarganegaraannya.

Sehubungan itu, Abdul Ghani berkata, SPR menyeru semua pemohon yang sudah mendaftar dari 1 Oktober hingga 31 Disember 2017 supaya membuat semakan maklumat pendaftaran pemilih mereka di tempat yang dinyatakan.

"Pemohon juga boleh melayari laman sesawang SPR di www.spr.gov.my atau menerusi aplikasi telefon pintar My SPR Semak untuk menyemak senarai nama yang dipamerkan dalam Rang DPT Suku Tahun 4/2017.

"Sebarang pertanyaan mengenai pameran Rang DPT Suku Tahun 4/2017 boleh menghubungi Ibu Pejabat SPR melalui nombor telefon 03-88927018 atau menghubungi mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri,"katanya.

Disiarkan pada: January 16, 2018 @ 11:31pm
d