mutakhir

Tapis integriti, kesihatan calon PRU-14

Oleh Mohd Nasif Badruddin

Kuala Lumpur: Barisan Nasional (BN) melakukan tapisan integriti dan kesihatan terhadap calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemimpin BN di peringkat negeri menghantar sepenuhnya nama calon untuk kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, integriti dijadikan soal utama dalam pemilihan calon dan laporan kesihatan pula diteliti supaya tidak berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) dalam waktu singkat selepas PRU.

“Kita tahu soal tersangkut dengan integriti yang membabitkan umpamanya rasuah atau penyalahgunaan kuasa atau personaliti atau sahsiah yang bercanggah dengan pelbagai perundangan perilaku umpamanya turut diberikan perhatian.

“Tentunya di dalam perkara sedemikian, pengundi melihat personaliti seseorang. Calon bukan saja mesti bersih, tetapi juga kelihatan bersih,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Diskusi Intelektual: Institut Integriti Malaysia (IIM), di sini, semalam.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Zainal Rahim Seman serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIM Datuk Dr Anis Yusal Yusoff.

Disiarkan pada: January 17, 2018 @ 3:27am
d