mutakhir

Detik cemas 20 pelancong Korea

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Sekumpulan 20 pelancong warga Korea menempuh detik menakutkan apabila bas persiaran dinaiki mereka terbalik dipercayai akibat mahu mengelak melanggar anjing melintas di Jalan Teluk Piah Kanan, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.46 malam itu, semua pelancong berusia 20 hingga 50-an bagaimanapun terselamat bersama dua lagi warga tempatan yang bertugas sebagai pemandu bas dan pemandu pelancong.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba Penyelamat Selangor, Alimaddia Bukri berkata, sepasukan 14 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya, Tanjung Karang dan Kuala Selangor bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.

“Setibanya di lokasi itu, bas berkenaan didapati terbalik ke kiri jalan dan kami mengambil masa 20 minit untuk mengeluarkan semua mangsa.

“Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kemalangan itu,” katanya, semalam.

Menurutnya, semua mangsa tidak cedera dan bas berkenaan turut dialihkan bagi mengelak kesesakan lalu lintas di kawasan terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Mohd Asri A Wahab berkata, bas berkenaan dalam perjalanan dari arah Kuala Selangor menuju ke sebuah hotel di Petaling Jaya.

Disiarkan pada: January 17, 2018 @ 3:37am
d