mutakhir

Lebih ruang hijau

Oleh Faliq Lajim

Shah Alam: Bagi memacu ke arah Transformasi Nasional 2050 (TN50), golongan muda memerlukan lebih banyak model pembangunan lestari berbanding pembinaan pusat beli-belah di kawasan perbandaran.

Ia berikutan cara dan pembangunan bandar yang dilaksanakan selama ini tidak menepati kehendak atau aspirasi golongan itu ketika ini.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, faktor itu diperoleh menerusi hasil pemerhatian selama setahun membabitkan pertemuan dan sesi dialog bersama belia di negara ini.

“Antara aspirasi yang dinyatakan mereka ialah kawasan lapang yang dapat menyediakan kemudahan prasarana awam, sukan, reaksi dan riadah.

“Mereka merasakan terlalu banyak pusat beli-belah dan pembangunan komersial yang dilihat tidak mencerminkan perubahan kepada gaya hidup mereka yang kini hanya membeli secara online. Keadaan itu juga mendorong kerajaan mengehadkan kelulusan pembinaan premis baru di bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan TN50 Model Perbandaran Bagi Generasi Akan Datang di Seksyen U16 di sini, semalam.

Majlis itu disaksikan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri beliau, Tun Jeanne Abdullah.

Turut hadir, Pengerusi Sime Darby Property Berhad Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Pengarah Urusannya Datuk Seri Amrin Awaluddin.

Menurut Khairy, berdasarkan unjuran menjelang 2050, rakyat Malaysia akan menetap di kawasan bandar dan pembangunan mapan diperlukan bagi memberi kehidupan berkualiti terutama golongan muda yang inginkan lebih ruang hijau serta aktiviti luar.

Dalam pada itu, kata beliau, kementerian melihat pendekatan Sime Darby Properties dalam membangunkan bandar Elmina amat menarik kerana keluasan kawasan lapang dan taman yang sejajar dengan matlamat TN50.

Pada majlis itu, Khairy turut menanam kapsul masa yang bakal menghimpunkan mesej aspirasi menjelang 2050 itu iaitu pasukan bola sepak negara layak ke Piala Dunia.

Disiarkan pada: January 17, 2018 @ 3:50am
d