mutakhir

Empat Geng Bayu tumpas

Oleh Faliq Lajim

Klang: Kegiatan haram kumpulan dikenali sebagai Geng Bayu yang bergiat aktif memecah masuk rumah dan kedai di sekitar Bukit Tinggi di sini, sejak beberapa bulan lalu tumpas dengan penahanan empat lelaki, semalam.

Semua suspek berusia 30 hingga 46 tahun itu dicekup polis Klang Selatan di tiga lokasi berasingan di sekitar daerah ini.

Selain pelbagai peralatan untuk kegiatan haram mereka, polis menemui semula barangan dipercayai milik mangsa termasuk peti sejuk, kipas meja, mesin basuh dan televisyen.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar berkata, dua suspek awal ditahan pihaknya di Flat Bukit Tinggi 2, kira-kira jam 5.30 pagi.

“Hasil pemeriksaan merampas sekeping surat pajak gadai dan kemudian membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki pada jam 6.15 pagi.

“Ia diikuti tangkapan terakhir membabitkan seorang lagi lelaki kira-kira 30 minit kemudian. Semua tangkapan itu dijalankan di sekitar flat berkenaan,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya berjaya menemui barangan yang dipercayai hasil pecah rumah dan kedai dilakukan geng berkenaan.

“Selain peti sejuk, kipas meja, mesin basuh dan televisyen, ia membabitkan dua unit pembesar suara dan tiga parang.

“Kita menemui pelbagai peralatan digunakan kumpulan itu untuk melakukan kegiatan berkenaan,” katanya.

Kata Amar, siasatan mendapati semua suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.

“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti pembabitan mereka dalam kes pecah rumah dan kedai di sekitar Klang,” katanya yang mengklasifikasikan kes mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: January 17, 2018 @ 4:51am
d