mutakhir

Ajal dalam sampan

Oleh Rosli Ilham

 

NELAYAN ditemui meninggal dunia di dalam sampannya dalam keadaan kepalanya tersembam di air di Sungai Delong, Dungun,  malam semalam. 

Mayat Deris Said, 56, ditemui seorang penduduk kampung, Mohd Rozaimi Mohd Rosli, 21, pada 10.30 malam.

Mangsa dipercayai mengalami serangan jantung ketika memeriksa joran yang digunakan untuk menangkap ikan di sungai berkenaan.

Deris dikatakan ke sungai berkenaan dengan menggunakan bot gentian kacanya kira-kira 10 malam untuk mengutip hasil tangkapan selepas memasang joran terbabit sejak 2.30 petang.

Mohd Rozaimi dipercayai ke sungai berkenaan untuk memancing sebelum ternampak mangsa dan terus bergegas pulang ke kampung untuk memaklumkan kejadian itu kepada penduduk lain sebelum melaporkan kejadian itu kepada polis.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah yang ditemui di tempat kejadian mengesahkan penemuan mayat nelayan terbabit.

Menurutnya, pihaknya yang ke lokasi membawa mayat mangsa ke darat sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat.

"Laporan perubatan yang kami perolehi mengesahkan mangsa ada mengidap kencing manis,darah tinggi dan sakit jantung.

"Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah menyebabkan kematiannya dan kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

 

Disiarkan pada: January 17, 2018 @ 8:57am
d