mutakhir

306 saman parkir di bahu jalan

Oleh Nursyahirah Marzuki

POLIS mengeluarkan 306 saman pada Operasi Penguatkuasaan dan Halangan Lalu lintas yang dilakukan di sepanjang susur masuk keLapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2, Sepang malam semalam.

Operasi yang diketuai Ketua Polis Daerah KLIA Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah itu membabitkan sejumlah pegawai dan anggota Cawangan Trafik dan MPV IPD KLIA.

Zulkifli berkata, operasi yang bermula seawal 9 malam itu dilaksanakan atas arahan yang dikeluarkan Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor pada Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, semalam.

"Operasi selama dua jam di sepanjang jalan berhampiran stesen minyak susur masuk ke kawasan terminal KLIA dan klia2 berjaya mengeluarkan sebanyak 306 saman ke atas pemandu yang menunggu dan meletakkan kenderaan di bahu jalan.

"Selain tindakan saman, kita juga memberi nasihat kepada pemandu berkenaan supaya menggunakan kemudahan parkir percuma sebagai tempat menunggu yang disediakan oleh pihak Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, operasi itu akan dijalankan secara berterusan dan pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas pemandu yang masih berdegil tanpa memikirkan keselamatan pengguna jalan raya lain.

"Antara tindakan yang akan dilaksanakan termasuk menunda kenderaan yang ditinggalkan di bahu jalan sepanjang kawasan terminal KLIA dan klia2.

"Tindakan pemandu yang meninggalkan kenderaan mereka di bahu jalan ini mengganggu kelancaran lalulintas dan menyusahkan pengguna lain," katanya.

Menurutnya, tindakan pemandu berkenaan juga secara tidak langsung memberi imej buruk terhadap KLIA dan klia2 sebagai pintu masuk utama terutama di mata pelancong luar negara.

Semalam, Mazlan mengarahkan kenderaan awam atau persendirian yang diparkir dan menunggu di tepi jalan berhampiran sebuah stesen minyak susur ke KLIA dan klia2 akan ditunda ke balai polis, selain dikenakan saman.

Tindakan tegas itu berkuatkuasa serta-merta susulan masih ramai pemandu yang berdegil tanpa memikirkan keselamatan pengguna jalan raya lain.

Disiarkan pada: January 17, 2018 @ 9:08am
d