mutakhir

Bahana cinta terhalang [METROTV]

Oleh Muhammad Apendy Issahak

DUDA berusia 47 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Tanjung Malim hari ini atas tuduhan membunuh seorang penjual ikan pada 8 Januari lalu.

Tertuduh, Zulkafli Abdullah, 47, dituduh membunuh Roslli Zulkharnain Kamaruddin, 30, yang meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Slim River akibat kecederaan parah selepas ditikam menggunakan sebilah pisau di bahagian perut.

Zulkafli didakwa melakukan kesalahan itu jam 2.30 pagi, di hadapan sebuah rumah di Taman Slim Permai, Slim River 8 Januari lalu.

Duda anak empat itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan hanya mengangguk tanda faham sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majisterit Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh dan mahkamah menetapkan 16 Februari ini untuk sebutan semula kes di Mahkamah Slim River dan memberi peluang kepada tertuduh untuk mendapatkan khidmat peguam.

Pertuduhan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Aza Fyreen Abdul Aziz manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh berpakaian lokap warna ungu dibawa ke mahkamah kira-kira jam 9 pagi menaiki kenderaan polis dan dikawal ketat anggota polis sebelum dibawa keluar kira-kira 30 minit kemudian selepas pendakwaan selesai.

Pada 8 Januari lalu, media melaporkan masalah cinta dipercayai punca pergaduhan hingga menyebabkan seorang lelaki maut ditikam di Taman Slim Permai, Slim River.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, Roslli Zulkharnain Kamaruddin, 30, parah akibat tikaman pada perut dan meninggal dunia ketika dirawat di hospital.

Difahamkan, suspek berusia 47 tahun yang tinggal di Trolak dipercayai menjalin hubungan cinta dengan seorang ahli keluarga mangsa namun ia tidak direstui.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku akibat pertelingkahan antara suspek dan mangsa.

€œDalam kejadian itu suspek turut parah pada bahagian belakang kepala dan tidak sedarkan diri akibat dihentak di atas jalan raya. Mangsa pula cedera di perut akibat ditikam dengan pisau.

Disiarkan pada: January 17, 2018 @ 11:57am
d