mutakhir

Ibu Iti meninggal dunia

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

“BYE ama (mama), Iti (panggilan manja) sayang ama,” kata Nur Zulaikha Zakaria, 11, mengiringi pemergian ibunya yang meninggal dunia akibat sesak nafas, 10 malam kelmarin.

Nur Zulaikha yang menghidap asma kronik dan terpaksa memakai topeng bantuan pernafasan selama 24 jam, kehilangan ibunya, Zawani Ismail, 40, sekali gus menjadikan dia yatim.

Kisah kanak-kanak itu pernah dilaporkan Harian Metro pada 26 April lalu dan dia mempunyai hubungan erat dengan arwah yang menguruskannya sepanjang masa.

Ayahnya, Zakaria Mohd Yusof, 67, berkata, dia bimbang kesihatan anaknya itu terjejas disebabkan kehilangan arwah yang selama ini sentiasa bersama mereka.

"Paru-parunya tidak berfungsi dengan baik, dan dia pun rapat dengan arwah. Saya bimbang dia sukar menerima kehilangan ini.

"Ketika arwah menghembuskan nafas terakhir semalam, Iti tidur dan hanya tersedar selepas orang ramai memenuhi rumah sewa kami.

"Apabila dia sedar, terus bertanya sama ada mamanya meninggal dunia. Ketika itu dia tak tahu maksud mati dan masih boleh bertenang lagi. Namun ketika arwah mahu dikafankan, Iti menangis dan sukar ditenangkan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Dusun Langgar, Wakaf Bharu, hari ini.

Zakaria berkata, jenazah arwah isterinya selamat dikebumikan di Kampung Dusun Langgar, Wakaf Bharu, semalam dan kini menjadi tanggungjawabnya untuk menguruskan Nur Zulaikha seperti pernah dilakukan arwah.

Menurutnya, arwah Zawani menghidap kencing manis dan ibu jari kaki kanannya dipotong, Julai tahun lalu.

"Sejak itu dia sentiasa tidak sihat dan beberapa minggu kebelakangan ini dia banyak berdiam diri dan mengadu penat. Saya akan jaga amanah ditinggalkan ini dengan sebaik mungkin," katanya.

Harian Metro 26 April lalu melaporkan, Nur Zulaikha terpaksa memakai topeng alat bantuan pernafasan selama 24 jam sehari untuk meneruskan hidup berikutan menghidap asma kronik sejak Februari 2017.

Disiarkan pada: January 17, 2018 @ 5:25pm
d