mutakhir

Kena 10 sebatan, 6 tahun penjara sebab dadah

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

PEMANDU lori dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan 10 sebatan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini kerana memiliki dadah jenis heroin dan methamphetamine.

Keputusan itu dibuat Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz selepas tertuduh, Salehuddin Safiai, 44, dari Felda Tersat, Hulu Terengganu mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (2) akta sama.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki dadah jenis heroin seberat 8.97 gram di tepi jalan besar Kampung Matang, Jalan Felda Tersat, Kuala Berang, Hulu Terengganu, jam 1 petang pada 12 Oktober 2017.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 2.23 gram di lokasi, masa dan tarikh sama.

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menjatuhkan hukuman enam tahun penjara dan 10 sebatan bagi pertuduhan pertama manakala dua tahun penjara untuk pertuduhan kedua.

Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 12 Oktober 2017.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Marsilawati Mohamad Shah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu terserempak dengan tertuduh yang sedang memegang plastik putih dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

Tertuduh yang menyedari kehadiran polis cuba melarikan diri sebelum ditangkap selepas berlaku sedikit pergelutan.

Hasil pemeriksaan menjumpai dua jenis dadah iaitu methamphetamine dan heroin di dalam beg plastik di tangan tertuduh sebelum dia dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

Disiarkan pada: January 17, 2018 @ 5:28pm
d