mutakhir

Mantapkan keselamatan perairan Pengerang

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

PANGKALAN Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor Penebuk di Pengerang, Kota Tinggi akan dimantapkan dengan penambahan aset serta kemudahan anggota bagi meningkatkan tahap keselamatan di kawasan berkenaan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, ia berikutan kawasan perairan Pengerang bakal menjadi tumpuan kapal asing khususnya apabila Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) siap sepenuhnya.

"RAPID adalah sasaran utama negara yang perlu diberi perlindungan kerana lokasinya yang strategik yang akan menjadi perhatian banyak kapal asing.

"Kini, kita ada menempatkan 100 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi di kawasan itu untuk membantu menguruskan keamanan dan keselamatan di sana.

"Kita ade penempatan Marin di sana tetapi kita harap dapat menambahkan aset serta sumber manusia untuk memperkukuhkan lagi PPM di sana," katanya ketika sidang media dalam siri lawatannya ke Johor di DALAC Marine Engineering & Services Sdn Bhd di Masai, Johor, hari ini.

Beliau berkata, selain aset seperti bot yang lebih selesa, PPM Penebuk memerlukan penambahbaikan pejabat serta penempatan di jeti itu.

Katanya, ia penting bagi memberi keselesaan dan lebih mudah kepada anggota ketika bertugas memandangkan kini mereka hanya menumpang di Balai Polis Pengerang.

"Seperti yang kita tahu, terdapat hampir 60,000 pekerja projek berkenaan dengan membabitkan lebih 30 negara asing yang mana kita perlu beri perhatian pada peringkat akhir projek sehingga ia siap nanti.

"Pihak Petronas ada memaklumkan apabila polis ditempatkan di kawasan itu sejak lebih setahun yang lalu, kejadian gaduh atau jenayah lain dilaporkan berkurangan.

"Jadi, kita perlu pastikan ada anggota polis untuk terus ditempatkan di kawasan berkenaan, namun perlu memikirkan keselesaan dan kemudahan anggota yang bertugas," katanya.

Pada masa sama, Zulkifli berkata, PPM Wilayah Dua Johor turut akan ditempatkan di Tanjung Pelepas selain Pusat Latihan Polis Marin (PULAMAR) yang kini di Tampoi, Johor akan dipindahkan ke kawasan berkenaan.

"Semalam, saya sudah melihat tapak di Tanjung Pelepas dan kita akan menempatkan PPM Wilayah Dua di sana serta PULAMAR.

"Ini kerana, di Tampoi dengan air laut yang sudah cetek, sukar untuk kita menempatkan aset dan terpaksa diletakkan di luar kawasan.

"Jadi, pembangunan di tapak seluas 20.23 hektar itu diharap dapat dilaksanakan dengan segera," katanya.

Zulkifli juga sempat menguji aset baru iaitu bot RH FB Semi Cabin bagi kegunaan PPM Wilayah Dua Johor.

Katanya, bot berkenaan memang digunakan dalam operasi rondaan sebelum ini, namun ia tampil dalam versi baru yang lebih panjang dan terdapat kabin untuk keselesaan ketika rondaan dijalankan.

FOTO Nurul Amanina Suhaini

Disiarkan pada: January 17, 2018 @ 8:14pm
d