mutakhir

'Ingatkan serangan bom...'

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

"KAMI ingat serangan bom oleh pengganas," kata pensyarah Management Science University (MSU) Nur Lalua Rashidah Mohd Rahsiad yang menceritakan detik cemas insiden runtuhan lantai mezanin di bangunan Bursa Efek Indonesia (BEI), Jakarta, Indonesia, Isnin lalu.

Nur Lalua bersama dua pensyarah lain termasuk tiga pelajar MSU serta seorang ahli keluarga pelajar tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 9.20 malam ini menerusi penerbangan Malaysia Airlines Bhd MH722 dari Jakarta.

Dia yang ditemui berkata, keadaan berlaku sangat pantas dan debu runtuhan memenuhi ruang lobi bangunan berkenaan.

"Saya sempat melihat mangsa yang patah kaki, tangan malah, ada tulang mangsa yang tersembul keluar akibat kesan runtuhan lantai berkenaan.

"Bagaimanapun, kami tidak berada lama di lokasi kejadian sebaliknya diselamatkan dan di bawa ke tempat selamat iaitu di bangunan bersebelahan," katanya.

Katanya, dia juga sempat melihat orang awam tampil menghulurkan bantuan dan menyelamatkan mangsa di bawah runtuhan.

Nur Lalua berkata, dia bersyukur kerana kesemua pelajarnya selain dua rakan pensyarah dan beberapa ahli keluarga pelajar tidak mengalami apa-apa kecederaan namun, mengakui sedikit trauma selepas insiden berkenaan.

Sementara itu, seorang lagi pensyarah MSU, Abdul Taib Tajudin, 31, berkata, pihaknya ada memohon untuk melakukan lawatan ke Menara BEI namun, ditolak atas faktor keselamatan.

Selain itu, katanya, pihaknya turut membatalkan beberapa lawatan ke beberapa buah universiti di sekitar Jakarta sebagaimana yang dirancang oleh pihak universiti berikutan keadaan pelajar yang masih trauma dan terkejut dengan insiden berkenaan.

Sementara itu, Nur Lalua berkata, mereka berada di Jakarta untuk mewakili Malaysia dalam pertandingan ASEAN CIMB Stock Challenge 2.0 dimana ia disertai enam buah negara iaitu Thailand; Kemboja; Indonesia; Singapura dan Brunei.

Katanya, delegasi Malaysia disertai tiga pensyarah, 15 pelajar dan empat orang ahli keluarga pelajar.

"Kami berjaya mendapat tempat keempat daripada enam negara yang bertanding dan berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak USD2,500 (RM9,875)," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 12.20 tengah hari itu, sekurang-kurangnya 75 cedera, termasuk sekumpulan penuntut kolej yang berada di atas beranda bangunan berkenaan.

Ketika kejadian, kumpulan penuntut antara 40 hingga 50 orang itu sedang mengikuti lawatan di Menara BEI.

Jurucakap polis memaklumkan, kejadian itu berpunca dari kemalangan dan bukannya akibat letupan bom.

Kebanyakan mangsa mengalami kecederaan pada kaki dan tangan, termasuk ada yang patah tulang.

Kejadian berlaku tidak lama selepas tengah hari ketika pasaran berhenti untuk rehat tengah hari.

Disiarkan pada: January 17, 2018 @ 11:21pm
d