mutakhir

Zakat RM700,000 manfaat 1,100 pelajar

Oleh Nursyahirah Marzuki

Putrajaya: Sumbangan wang zakat RM700,000 daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB) diharap dapat memberi manfaat kepada pelajar Program Matrikulasi, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terutama mereka yang kurang berkemampuan.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, melalui sumbangan itu ia memberi manfaat kepada 1,100 pelajar yang layak berdasarkan kriteria ditetapkan PNB.

“Semua jumlah sumbangan ini diagihkan kepada 300 pelajar cemerlang membabitkan RM300,000 manakala RM400,000 diagihkan kepada 800 pelajar masing-masing daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

“Pemberian wang zakat ini adalah satu usaha PNB meringankan beban pelajar yang kurang bernasib baik, sekali gus memberi semangat untuk mereka meneruskan pengajian dengan lebih cemerlang,” katanya pada Majlis Penyerahan Sumbangan Zakat Permodalan Nasional Berhad (PNB) kepada Pelajar Program Matrikulasi KPM di sini, semalam.

Pada majlis itu, Mahdzir menerima sumbangan zakat yang disampaikan Pengerusi PNB Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan I Datuk P Kamalanathan, Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon, Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Alias Ahmad dan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin.

Mahdzir berkata, kerjasama itu juga membuktikan kerajaan dan syarikat korporat seperti PNB prihatin serta menitikberatkan golongan kurang kemampuan.

“Kami berharap kerjasama seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan diperluaskan lagi kepada pelbagai bidang di bawah kementerian,” katanya.

Sementara itu, Abdul Wahid berkata, agihan zakat itu adalah sumbangan PNB bagi membantu pelajar matrikulasi di samping membantu ringan beban mereka terutama ketika melanjutkan pengajian ke peringkat universiti

“Kami memperuntukkan RM33 juta untuk sumbangan zakat iaitu 80 peratus daripadanya disalurkan kepada pusat agihan zakat negeri dan 20 peratus diberikan secara langsung kepada golongan asnaf.

“PNB juga bersedia meneruskan sumbangan zakat ini selepas melihat keberkesanannya dalam membantu meningkatkan prestasi akademik pelajar program matrikulasi KPM,” katanya.

Disiarkan pada: January 18, 2018 @ 3:48am
d