mutakhir

Tubuh Aisyah kebiruan

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Harapan mereka hanya satu untuk melihat anak perempuan sihat dan menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain.

Tiada yang lebih perit dalam hidup apabila melihat anak mereka, Nur Aisyah Dalila Abd Rahim, 2, disahkan menghidap masalah jantung berikutan saluran Tetralogy of Fallo’ (TOF) tersumbat.

Ibunya, Rositah Kames, 41, berkata, anak keduanya itu didapati mempunyai masalah jantung ketika berusia dua hari apabila mengalami kebiruan dan sesak nafas.

“Doktor mengesahkan Aisyah mempunyai masalah jantung berlubang dan saluran injap jantung tersumbat yang memerlukan kos pembedahan RM60,000.

“Suami saya, Abd Rahim Mohd Napiah bekerja di Rapid KL dengan pendapatan RM4,200 sebulan manakala saya pula tidak bekerja dan Aisyah memerlukan pembedahan segera kerana keadaannya semakin lemah,” katanya ketika ditemui di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur di sini, semalam.

Menurutnya, dia dan bayinya tidak mengalami sebarang masalah sepanjang mengandung dan terkejut sebaik dimaklumkan anaknya mengalami masalah jantung.

“Selepas dilahirkan di Hospital Kulim, barulah doktor mengenal pasti penyakitnya selepas Aisyah kebiruan sebelum mengesahkan mempunyai lubang pada jantungnya dan saluran injap jantung tersumbat.

“Sejak itu, hospital ibarat rumah kedua kami, malah Aisyah ditempatkan di Unit Rawatan Rapi kerana tidak mampu bernafas secara semula jadi dan perlu bergantung kepada bantuan oksigen,” katanya.

Rositah berkata, anaknya itu tidak boleh aktif seperti kanak-kanak lain, jika tidak badan Aisyah lemah, kebiruan manakala degup jantungnya menjadi sangat laju hingga boleh mengakibatkan kematian.

“Doktor yang merawatnya berkata, anak saya perlu menjalani pembedahan segera, jika tidak lama kelamaan saluran injap jantungnya semakin kembang dan ini boleh mendatangkan risiko kematian pada bila-bila masa.

“Justeru, doktor mengesyorkan kami melakukan pembedahan secepat mungkin dan kami memerlukan bantuan orang ramai,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu Aisyah boleh menghulurkan sumbangan ke tabung MEDIA PRIMA-NSTP HUMANITARIAN FUND di akaun Maybank, 514105323170.

Cek juga boleh dihantar ke Bahagian Kumpulan Komunikasi Korporat, Media Prima Berhad, Tingkat 1, Anjung Riong, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur atas nama pesakit.

Disiarkan pada: January 18, 2018 @ 5:09am
d