mutakhir

Azab di bahu jalan

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Seorang lelaki terpaksa menahan azab kesakitan kira-kira 20 minit akibat tersepit dalam kereta dipandunya yang terbalik dalam kemalangan di Simpang Tiga, Jeram di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3.42 pagi, mangsa, R Jivaharan, 22, yang memandu Proton Wira cedera di beberapa anggota badan termasuk patah kaki kanan.

Difahamkan, mangsa yang bersendirian menuju ke rumahnya di kawasan berdekatan sebelum kereta itu hilang kawalan dan terbalik ke bahu jalan.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba Penyelamat Selangor Alimaddia Bukri berkata, sembilan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Selangor bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.

“Setibanya di lokasi, mangsa dalam keadaan sedar sambil menahan kesakitan akibat tersepit.

“Bomba mengambil masa kira-kira 20 minit bagi mengeluarkan mangsa,” katanya.

Disiarkan pada: January 18, 2018 @ 5:32am
d