mutakhir

GRO oh GRO...

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

SERAMAI 17 orang ditahan menerusi Ops Noda yang dijalankan Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di tiga lokasi sekitar Petaling Jaya, malam tadi.

Mereka yang ditahan dalam operasi bermula kira-kira jam 10.30 malam itu terdiri 11 wanita warga asing masing-masing sembilan bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) dan tukang urut (2), tiga lelaki tempatan bekerja sebagai penjaga, seorang lelaki tempatan serta dua lelaki warga Bangladesh yang bekerja di premis yang diserbu.

Serbuan pertama di sebuah kelab beroperasi tanpa lesen di Pusat Bandar Damansara, Petaling Jaya, polis menahan seorang lelaki tempatan bekerja sebagai penjaga selain merampas wang tunai RM600 serta barangan seperti pembesar suara, mikrofon, bola dan kayu snuker yang melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat Tempat Hiburan (EHDTTH) 1995.

Dalam serbuan kedua di kelab di Damansara Perdana, polis menahan lima wanita warga Indonesia, empat wanita warga Thailand bekerja sebagai GRO, dua lelaki tempatan bekerja sebagai penjaga dan seorang lagi lelaki tempatan yang berada premis ketika serbuan.

Mereka ditahan mengikut Seksyen 55B dan Seksyen 39B Akta Imigresen selain turut dirampas adalah wang tunai RM757, sebuah buku jadual kerja serta empat keping bil tunai.

Manakala dalam serbuan ketiga di sebuah premis urutan di Damansara Perdana, polis menahan dua wanita warga China bekerja sebagai tukang urut serta dua lelaki warga Bangladesh yang bekerja di premis itu.

Keempat-empatnya ditahan mengikut Seksyen 55B Akta imigresen dan Seksyen 39B Peraturan Imigresen.

Disiarkan pada: January 18, 2018 @ 12:39pm
d