mutakhir

Banyaknya pil dalam bakul Kecik [METROTV]

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

TAKTIK seorang buruh dikenali sebagai Kecik menyorokkan dadah di dalam bakul yang disembunyikan di dapur gagal selepas bahan terlarang itu ditemui di rumah di kawasan Jambu Bongkok, Merchang, Marang pada Ahad lalu.

Dalam serbuan kira-kira 2.30 petang, polis merampas 1,000 biji pil kuda dan wang tunai sebanyak RM200 dengan rampasan dianggarkan bernilai RM12,000.

Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik hasil maklumat awam dan risikan dijalankan pihaknya mengenai aktiviti pengedaran dadah di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut menemui satu botol plastik lutsinar berisi bungkusan kertas akhbar mengandungi lima plastik pil berwarna merah dan hijau disyaki dadah yaba.

“Setiap plastik mengandungi 198 pil berwarna merah dan dua pil warna hijau dengan keseluruhan pil sebanyak 1,000 biji yang dianggarkan seberat 100.55 gram.

“Siasatan mendapati bekalan dadah berkenaan untuk pasaran daerah ini dan suspek turut mempunyai dua rekod lampau mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Lelaki berusia 23 tahun dipercayai terbabit dalam aktiviti berkenaan sejak awal Disember tahun lalu itu kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39 B ADB 1952 sehingga 21 Januari depan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang, hari ini.

Mohd Suhaimi berkata, pihaknya turut menahan empat lelaki berusia 19 hingga 43 tahun dalam serbuan di bangsal membaiki motosikal di Kampung Pulau Kerengga, Marang pada 12.30 tengah hari Selasa lalu.

Katanya, empat suspek dipercayai mendapat bekalan daripada suspek berusia 23 tahun dengan bekalan berkenaan dipercayai untuk kegunaan sendiri.

“Pemeriksaan terhadap salah seorang suspek menemui satu beg berzip mengandungi satu tiub berisi tujuh pil berwarna merah dan satu beg berzip lagi ditemui di atas kerusi di dalam bangsal berkenaan mengandungi dadah.

“Kita turut menemui satu beg mengandungi dadah di atas lantai di tepi kerusi dengan keseluruhan pil sebanyak 227 biji yang dianggarkan bernilai RM2,270.

“Semua suspek positif dadah methamphetamine kini direman sehingga 20 Januari depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A (1) ADB 1952,” katanya.

Disiarkan pada: January 18, 2018 @ 12:46pm
d