mutakhir

Pecut sampai tayar tercabut..

DUDA berusia 47 tahun ditahan bersama rampasan syabu dan heroin serta wang tunai berjumlah RM39,422 di FELDA Kota Gelanggi 3, Jerantut, kelmarin.

Dalam kejadian 2 petang itu, suspek ditahan ketika cuba melarikan diri dengan kereta Proton Satria selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Jerantut Superintendan Mazlan Hassan berkata, menyedari keretanya diekori polis, suspek memecut kenderaan kira-kira satu kilometer sebelum tayar belakang sebelah kanan tercabut dan berjaya ditahan.

“Hasil pemeriksaan di dalam kereta dipandu suspek, polis menemui satu beg galas mengandungi dua peket plastik lutsinar dipercayai syabu seberat 77.53 gram dan empat peket plastik lutsinar disyaki heroin seberat 107.01 gram. Turut ditemui wang tunai berjumlah RM922.

“Nilai rampasan keseluruhan ialah RM39,422 manakala ujian saringan air kencing mendapati suspek positif syabu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: January 18, 2018 @ 1:25pm
d